• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

MPD Tebang Pokok Berisiko Tumbang

DUNGUN, 18 Disember- Majlis Perbandaran Dungun (MPD) mengambil langkah segera dengan menebang pokok-pokok yang telah berusia di laluan utama Kampung Sura Lapangan Terbang bagi mengelak kejadian tidak diingini terutamanya ketika berlaku ribut dan angin kencang pada musim tengkujuh ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, langkah tersebut sekali gus dapat meminimakan risiko kepada penduduk dan pengguna jalan di sekitar kawasan tersebut daripada dihempap pokok.

"Saya telah menerima aduan daripada penduduk mengenai dahan-dahan pokok yang berpotensi tumbang, yang telah menimbulkan kebimbangan di kalangan mereka yang melalui kawasan ini.

"Keselamatan rakyat adalah keutamaan kami. Saya mengalu-alukan tindakan cepat MPD dalam menangani isu ini dan bersyukur kerana pihak berkuasa sentiasa peka terhadap keperluan rakyat," ujarnya kepada pemberita sewaktu membuat tinjauan di lokasi pokok berisiko tumbang berkenaan.

Beliau turut menyeru penduduk setempat untuk terus mengadukan sebarang isu keselamatan kepada pihak berkuasa agar tindakan lanjut dapat diambil dengan segera.

Beliau juga menyatakan komitmen untuk terus bekerja keras demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat Sura.

 


Tag: