• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

MPKK Duta Pentadbiran Kerajaan

Haji Yahaya Ali (kiri) menyerahkan watikah pelantikan kepada Ahli MPKK yang terpilih. Foto: Solahuddin Al-Idrus
Oleh: Aslam Wira

MARANG - Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bertanggungjawab sebagai duta kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Haji Yahaya Ali berkata, ini kerana imej pengurusan dan kebajikan kerajan negeri akan dinilai berdasarkan prestasi yang dimainkan oleh MPKK.

Menurutnya, MPKK perlu membudayakan Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS), dalam pentadbiran di peringkat akar umbi.

"Kita harus membantu rakyat tanpa melihat warna parti dan menjauhkan diri daripada politik balas dendam," tegasnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan MPKK Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang mewakili Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Dewan Sivik, Kampung Darat Pak Chan (29 September).

Katanya, MPKK mesti bergerak sebagai satu pasukan di mana mereka juga mesti menjadi 'telinga dan mata' kerajaan.

"MPKK perlu meningkatkan usaha dalam pembangunan, keselamatan, kebersihan dan perpaduan serta usaha-usaha di peringkat kampung masing-masing.

"Bahkan, MPKK perlu membina daya kepimpinan supaya mereka tahu dari segi hubungan di antara kerajaan dan jabatan-jabatan supaya dapat menyelesaikan masalah berbangkit dari masa ke semasa.

“Saya berharap dengan penyerahan watikah perlantikan ini, mereka dapat melaksanakan tanggungjawab seperti kerajaan tekankan," ujarnya.

Majlis yang diadakan itu bermula 11:00 pagi melibatkan semua Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa (AJK) MPKK daripada 36 buah MPKK di seluruh Kawasan Rhu Rendang.


Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Marang, Haji Mat Azmi Arshad, Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Rhu Rendang, Cikgu Daud Jusof, Penghulu Kanan, Ibarahim, Pegawai Pembangunan DUN, Harun Yusof dan Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri, Wahad Osman.


Tag: