• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

MPOGCF Tekad Tangkis Persepsi Negatif Industri Minyak Sawit

KEMAMAN, 23 Disember - Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) buat julung kali bakal memperluaskan inisiatif pemuliharaan alam sekitar serta haiwan liar di Terengganu sekaligus mengurangkan persepsi terhadap industri sawit negara.

Pengerusinya, Dato' Mustafa @ Hasan Ali berkata, pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bersama TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP) diharapkan mampu dapat menghadapi suasana timbulnya tohmahan dan fitnah pihak tertentu seperti daripada Kesatuan Eropah (EU).

“Mereka memberi gambaran buruk kepada industri dimana Malaysia merupakan pengeluar kedua terbesar minyak sawit dibelakang Indonesia, oleh itu, kita sedar kepentingan mencari titik tengah menyediakan habitat hidupan liar di perladangan serta ‘hidup’ bersama mereka.

“Kita bukan mahu mematikan mereka, bahkan menghidupkan dan tidak mengganggu sumber rezeki binatang seperti harimau dan gajah liar.

“Negara kita menghadapi risiko pihak luar tidak mahu mengiktirafkan usaha pemuliharaan alam sekitar, oleh itu ia perlu ditingkatkan menerusi kolaborasi seperti hari ini,” katanya ketika berucap.

Tambahnya yang juga bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, MPOGCF telah menerajui pelbagai inisiatif pemuliharaan alam sekitar termasuk pemeliharaan Harimau Malaya di Sungkai, Perak, Kempen Penanaman Sejuta Pokok di Sabah dan Projek Penanaman Rumput Gajah.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis MoU diantara TDMP dan MPOGCF di Resort World Kijal, semalam.

Jelas Mustafa, perjanjian yang dimeterai akan membawa sinergi kepada kedua-dua organisasi dan menjana lebih banyak impak dalam aktiviti kelestarian yang ingin dicapai oleh TDMP dan MPOGCF.

“Kita akan kolaborasi bagi memastikan aktiviti perladangan tidak memberi kesan buruk kepada ekosistem hutan,” katanya lagi.