Dungun, 3 November– Program MRA Disaster Preparedness Bersama Komuniti Hulu Dungun telah berlangsung dengan jayanya sebagai inisiatif bersama MRA Terengganu, agensi tempatan serta komuniti pedalaman Hulu Dungun yang meliputi kawasan Rantau Panjang, Jongok Batu, Kuala Jengal dan Kampung Minda.
Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi bencana, khususnya banjir yang sering melanda kawasan pedalaman.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, berkata pihak Pusat Khidmat Masyarakat Bukit Besi akan bekerjasama rapat dengan MRA Terengganu bagi melancarkan urusan komunikasi ketika banjir, khususnya dalam memastikan pengagihan bantuan makanan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang terputus hubungan dapat dilaksanakan dengan segera dan berkesan.
Pelbagai aktiviti turut diadakan sepanjang program, termasuk taklimat keselamatan, bengkel keselamatan makanan (food safety), latihan Psychological First Aid (PFA), simulasi bencana, serta sesi keagamaan bagi memperkukuh aspek rohani dan ketabahan masyarakat.
Kemuncak program menyaksikan Kuliah Maghrib disampaikan oleh Sahibus Samahah Mufti Terengganu, Dato’ Dr. Mohamad Sabri Haron, bertajuk “Fiqh Bencana & Ketabahan Umat” yang menekankan aspek keagamaan dalam mendepani ujian bencana dengan penuh kesabaran dan hikmah.
Majlis penutupan diakhiri dengan jamuan bersama komuniti sebagai simbol semangat kebersamaan dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi musim tengkujuh yang bakal tiba.