• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Mualaf Bersyukur Sudah Tidak Perlu Menyewa

DUNGUN, 6 Januari - Seorang saudara baru (muallaf) melahirkan rasa syukur kerana tidak perlu lagi menyewa apabila terpilih menjadi penerima rumah Projek Perumahan Terengganuku Sejahtera (PPTS).

Iskandar Rawi, 37, yang juga orang kelainan upaya (OKU) memberitahu, dia bersama isteri dan anak sebelum ini tinggal menyewa dengan kadar RM350 sebulan.

Iskandar Rawi bersama isterinya, Norizan Lizam dan anak  mereka. 

"Saya memang tak mampu nak bayar dengan bekerja di stesen minyak sebagai tukang sapu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Rumah PPTS oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun di tapak Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Kampung Gong Pasir baru-baru ini. 

Di majlis yang turut dihadiri Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang itu juga, seramai lapan orang penerima telah menerima kunci rumah masing-masing. 

Menurut Iskandar, dia akan mencari kerja lain berhampiran tempat tinggalnya sekarang. 

"Tempat kerja lama jauh, masa tinggal di rumah lamapun saya terpaksa berjalan sejauh tiga kilometer memandangkan saya tidak dapat menunggang basikal ataupun motosikal dengan keadaan saya ini," katanya.

Sementara itu seorang ibu tunggal, Suzana Ismail, 35, berkata dia seolah-olah bermimpi, akhirnya terpilih sebagai peserta PPTS. 

" Tak kisahlah 'rumah transit' pun asalkan tidak menyewa dan saya serta anak-anak dapat berteduh, duduk rumah sewa sebulan RM250, memang tak mampulah dengan kerja saya sebagai membantu kakak di kedai makan," cerita ibu kepada tiga orang anak itu. 


Tag: