• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Muara Sungai Cetek : Kerja-Kerja Awal Telah Dilakukan, Nelayan Tidak Dipinggirkan

KUALA TERENGGANU, 26 Oktober - Kerajaan negeri menyangkal dakwaan sesetengah pihak berkenaan permasalahan nelayan di muara sungai Merchang dan muara sungai Ibai berikutan tiada tindakan diambil bagi menyelesaikan isu muara sungai cetek yang menjejaskan nelayan-nelayan untuk turun ke laut.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, apa yang berlaku tidak seperti yang diceritakan kerana kerajaan negeri melalui pemilik konsesi masing-masing telah menjalankan kerja-kerja pengorekan pasir bagi tujuan alur pelayaran seperti yang dijanjikan sebagai langkah penyelesaian jangka pendek.

"Video yang tular itu baharu tetapi bukan terkini. Apa yang berlaku sekarang pendalaman muara sungai sudah dimulakan sejak Ogos lepas dan sekarang ini melalui penyediaan laporan Method of Statement oleh pihak konsesi yang telah pun dipersetujui oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri, maka kerja-kerja mendalamkan laluan pelayaran boleh dijalankan bagi mengatasi masalah muara sungai yang cetek.

"Nelayan sudah boleh keluar masuk walaupun ketika air surut. Alhamdulillah kerjasama baik dari persatuan nelayan setempat banyak membantu melicinkan usaha ini," katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Sementara itu, tambahnya, di muara Merchang sekarang ini timbul isu simpanan pasir (stockpile) terlalu tinggi.

"Insya-Allah isu ini akan selesai dalam masa terdekat ini. Susulan itu, minggu lepas, pihak konsesi muara sungai Merchang telah mendapat kebenaran dari Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Timur dan jabatan yang berkaitan.

"Kita menjangkakan pada hujung minggu ini atau minggu depan jentera akan masuk dan kerja-kerja mengalihkan pasir dapat dijalankan di samping meneruskan kerja mendalamkan muara.

"Kajian Marine Risk Assessment (MRA) telah diluluskan dan pemeriksaan kapal telah dibuat. JLM telah mengeluarkan kelulusan operasi untuk kapal-kapal melakukan kerja-kerja pengerukan di Merchang dan melakukan aktiviti Ship-to-Ship (STS) di hab pelabuhan Dungun.

"Namun begitu, untuk muara Kuala Ibai, kerja-kerja mendalamkan alur pelayaran juga telah bermula cuma kebenaran untuk mengalihkan timbunan pasir masih belum diperolehi. Kita jangkakan selepas Akta Pengurusan Air dijangka dikuatkuasakan pada 1 Disember ini, semua muara di Terengganu akan dapat mengeluarkan pasir untuk dieksport insya-Allah," jelasnya.