• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Muktamar PAS : Junjung Perpaduan, Tolak Budaya Ekstrem

Abdul Hadi memberi amaran kepada pencetus ketegangan kaum.

KUANTAN, 21 Jun - PAS menolak sebarang budaya dan pemahaman ekstrem yang boleh menggugat perpaduan pelbagai kaum termasuk etnik di Sabah dan Sarawak.

Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti Islam itu akan bekerja bagi terus mengukuhkan keharmonian dan mengelak perpecahan daripada berlaku.

“Kita perlu menolak sebarang usaha untuk memisahkan penyatuan dan mengambil iktibar dengan apa yang berlaku di Selatan Sudan serta Timur-Timur yang lebih malang nasibnya selepas berpisah.

“Jadi anggota PAS Sabah dan Sarawak berperanan untuk memimpin perpaduan ini, mewakili suara umat Islam di tengah kemajmukan kaum dan etnik melalui pendekatan dialog serta aktiviti kebajikan supaya dapat membuka lembaran baru kerjasama politik yang mencerminkan wajah Malaysia harmoni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-65 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) di Indera Mahkota hari ini.


Ahli Parlimen Marang itu turut bertegas supaya semua rakyat mempertahankan kewujudan masyarakat majmuk dalam negara ini.

Jelasnya, perkara itu adalah berlandaskan petunjuk Islam, bukannya bermain politik, ia  buktikan dengan adanya sayap bukan Islam dalam PAS.

“Dan adanya pada Parti UMNO yang bersifat Melayu Islam tidak berpisah dan Bumiputera tegar, namun tetap menjalin rantaian yang tidak putus dengan semua kaum yang lain.

“Maka kita menentang sesiapa sahaja yang mahu membakar api perkauman dan fanatik agama yang merosakkan masyarakat majmuk ini,” tambah beliau.

Tag: