• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Muktamar PAS : Kecelaruan Politik, Desak Penyatuan Pembangkang

Dr Azman Ibrahim.

Oleh : Afif Fidee

KUANTAN, 23 Jun – Kecelaruan politik yang berlaku di negara ini mendesak dua parti terbesar melayu, PAS dan UMNO menjalinkan kerjasama politik bagi mengekang perkara itu daripada terus berlarutan.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim menegaskan, kesepakatan pembangkang itu berikutan wujudnya pelbagai masalah yang melingkari isu agama islam dan kebajikan rakyat.

Jelasnya, Islam akan diletakkan sebagai teras utama untuk memimpin agenda penyatuan ummah tersebut bagi mengembalikan semula kepentingan agama dan seluruh rakyat malaysia yang berbilang kaum.

“Situasi politik terkini memerlukan satu kesepaduan dan kesepakatan suara di kalangan umat islam di Malaysia khususnya bagi menghadapi pelbagai ancaman yang timbul terhadap isu berkaitan dengan agama kita sendiri.

“Sepertimana kita lihat dalam suasana muktamar kali ini, ia tidak hanya diwarnai oleh warna hijau, tetapi juga turut kelihatan warna merah, melambangkan dalam isu agama kita boleh duduk semeja walaupun ada titik perbezaan yang menjadi pertelingkahan sebelum ini,” ujarnya

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Muktamar Tahunan PAS Ke-65, di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), di sini semalam.

Semalam, muktamar meluluskan usul supaya pimpinan PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama memeterai perjanjian politik dengan UMNO.

Usul itu dibentang oleh Ketua Penerangan Dewan Ulama Mohd Asri Mat Daud, yang kemudiannya dipersetujui sebulat suara oleh perwakilan.

Ketika membentangkan usul itu, Mohd Asri berkata PAS tidak boleh menjalin taawun siyasi (kerjasama demi kepentingan Islam) semata-mata, sebaliknya hendaklah diikuti dengan tahaluf siyasi (muafakat politik).

“Dalam masa sama, (PAS) hendaklah mengadakan garis panduan asas, syarat-syarat dan batas kerjasama politik dengan parti politik tersebut,” katanya.

Kali terakhir PAS mengadakan perjanjian politik ialah bersama DAP pada 2008 sebelum ia ditamatkan setelah berlaku pelanggaran syarat pada Julai 2015.


Tag: