• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Muktamar PAS : ‘Taawun PAS-UMNO Mimpi Ngeri PH’

Dato' Dr Mahfodz Mohamed. 
KUANTAN, 20 Jun - Hasil kerjasama (taawun) antara PAS-UMNO menjadi satu  mimpi ngeri buat Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Dr Mahfodz Mohamed   berkata, ini ditambah dengan 'mood' rakyat telah berubah  kerana bosan dengan sikap kerajaan yang tidak menunaikan janji manifesto.

“Mood rakyat terutama kalangan anak muda dilihat sudah bosan dengan sikap Kerajaan PH yang tidak menunaikan janji manifesto yang ditawarkan semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu dengan alasan yang tidak berkesudahan.

“Kerajaan itu hanya menyalahkan kerajaan terdahulu setelah gagal melaksanakan agenda mereka.

“Malah dalam siri-siri pilihan raya kecil (PRK) yang berlaku sebanyak tujuh kali di semenanjung Malaysia dan satu di Sabah, hasil taawun PAS-UMNO telah berjaya memenangi majoriti PRK tersebut,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucaptama Muktamar Dewan Ulama PAS  Ke-58 di Wisma Belia Bandar Indera Mahkota, di sini hari ini.

Perwakilan Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat Kali Ke-58.
Turut hadir Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin, wakil Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dewan Pemuda PAS Malaysia, Dewan Muslimat PAS Pusat, Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat dan mantan Ketua-ketua Dewan Ulama PAS Pusat.

Dato' Dr Mahfodz  berkata, taawun PAS-UMNO juga mempunyai kekuatan yang besar malah mengatasi kiraan undi popular PH jika dilihat daripada sudut strategi gabung undi dalam PRU14 lalu.

Katanya, berdasarkan capaian dalam pilihan raya itu, PH mendapat sebanyak 5.8 juta undi manakala UMNO menerusi Barisan Nasional (BN) mendapat undi sebanyak 4.09 juta dan PAS pula menerusi Gagasan Sejahtera mendapat 2.04 juta undi.

“Secara kasar atas perkiraan undi popular ini, gabungan antara PAS-UMNO telah melebihi undi yang mereka (PH) perolehi. Disebabkan itu , PH sama sekali tidak akan membenarkan kerjasama PAS-UMNO ini berjaya dibentuk,” jelasnya.

Wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat turut hadir di Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat Ke-58.
Justeru itu, katanya, gabungan undi yang melibatkan pengundi Melayu Islam menerusi taawun itu merupakan strategi ampuh bagi memastikan keberadaan kaum Melayu sebagai kaum teras, menjadi penentu kestabilan politik tanah air.

“Jika gabungan undi ini berjaya dilaksanakan dengan baik dan sempurna, maka paling minimum 65 peratus kesatuan suara pengundi Melayu akan berjaya dibentuk,” ujarnya.

Katanya, menurut analisa PRU14 secara atas kertas, sokongan pengundi Melayu kepada PAS adalah sekitar 30 hingga 35 peratus manakala UMNO pula sebanyak 35 hingga 40 peratus.

“Walaupun peratusan tidak mencecah 90 peratus, namun ia tetap meresahkan pihak kerajaan PH khususnya DAP.

“Ini kerana komposisi kaum Melayu dan bumiputera adalah besar iaitu mencecah 69.1 peratus berbanding kaum Cina (23 peratus), India (6.9 peratus) dan lain-lain kaum (1 peratus). Ini berdasarkan kepada laporan Perangkaan Malaysia mengenai komposisi kaum di Malaysia pada tahun 2018,” tambahnya lagi.

Tag: