• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Muktamar Tahunan PAS Fokus Isu Ekonomi, Perpaduan

KUALA TERENGGANU, 4 November - Isu nasional melibatkan kesihatan, pendidikan, pemulihan ekonomi serta sosial dan perpaduan akan menjadi fokus utama pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-67 yang diadakan di Terengganu bermula Sabtu ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia relevan selaras dengan kedudukan parti berkenaan yang kini merupakan sebahagian daripada kerajaan di peringkat persekutuan dan muktamar yang diadakan itu akan mencuri tumpuan seluruh negara.

"Oleh sebab itu fokus kita berbeza pada kali ini apabila telah berperanan menjadi kerajaan persekutuan, tidak hanya membincangkan kepentingan kerajaan negeri yang dikuasai PAS, tetapi fokus kita lebih inklusif membabitkan seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

"Saya jangka itu akan dibangkitkan oleh perwakilan, di samping akan turut menyentuh isu-isu antarabangsa, jadi dijangka muktamar diadakan di Terengganu ini semuanya menarik dan akan mendapat perhatian seluruh dunia.

"Sebagaimana kelaziman akan turut didatangi dan dihadiri oleh perwakilan dari luar negara, tetapi untuk tahun ini mereka tidak datang secara fizikal mungkin mereka akan mengikutinya secara hibrid," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbarnya, sempena Muktamar Tahunan PAS yang diadakan itu, di Duyung Marina & Resort, di Pulau Duyong, di sini, pada hari ini.

Mengulas mengenai agenda perpaduan, katanya PAS konsisten mengenai perkara tersebut yang mana pada tahun ini tema yang diangkat ialah 'Islam Menyatukan Ummah'.

"Ini menjadi agenda yang kekal dan tetap kepada PAS kerana ia merupakan seruan, dan juga merupakan 'move', usaha kita untuk menyatukan ummah.

"Kita bukan sahaja hendak berbincang untuk menjadi pendamai antara UMNO dan BERSATU tetapi kita sekarang ini berperanan 'will play a major role' untuk satukan ummah ini yang selama ini menjadi hasrat Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan didokong oleh semua.

"Kita memiliki kesefahaman yang jelas mengenai agenda ini, ia akan diteruskan dan diterjemahkan dalam pelan tindakan agar ia menjadi keutamaan.

"Kta mahu ia berlaku dalam negara, melibatkan kalangan orang Melayu Islam, parti-parti dalam kerajaan, di kalangan parti-parti lain yang mempunyai aspirasi yang sama , dalam Perikatan Nasional sendiri turut dianggotai oleh Ahli-ahli Bukan Islam.

"Tiga parti  Melayu, PAS, UMNO dan BERSATU sebagai tonggak dalam kalangan kabinet yang ada pada hari ini," ujarnya.

 

 

 


Tag: