Berita :
Murabbi Al-Quran Wanita Benteng Akhlak Ummah di Era Cabaran Digital
Murabbi Al-Quran Wanita Benteng Akhlak Ummah di Era Cabaran Digital
Rohayati Ripin
13 jam yang lepas
43

KUALA TERENGGANU, 5 Mac – Dalam menghadapi cabaran keruntuhan akhlak dan pengaruh media sosial yang semakin membimbangkan, peranan guru Al-Quran wanita dilihat semakin penting sebagai benteng rohani masyarakat.

Seramai 1,000 peserta dari seluruh negeri berhimpun dalam Program Mahabbah Murabbi Al-Quran di Masjid Bandar Al-Wathiqu Billah Shah sebagai simbol pengiktirafan terhadap sumbangan besar golongan murabbi dalam membina generasi berakhlak dan mencintai Kalamullah.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Maliaman Kassim berkata, program tersebut bukan sekadar majlis penghargaan, tetapi manifestasi kesungguhan kerajaan negeri dalam memperkukuh agenda pembangunan rohani.

“Hari ini kita berhimpun bukan sekadar meraikan, tetapi untuk memuliakan insan yang memuliakan Kalamullah. Mereka inilah pembina jiwa ummah,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut, semalam.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri Terengganu dalam memperkukuh kesejahteraan sosial dan memartabatkan peranan wanita menerusi pelaksanaan Dasar Wanita Terengganu.

Katanya, guru Al-Quran wanita bukan sekadar pendidik biasa, bahkan pembina generasi dan penjaga akhlak masyarakat.

“Jika sekolah membina ilmu, maka guru Al-Quran membina jiwa. Dalam dunia yang semakin mencabar, kita memerlukan pendidikan Al-Quran yang bukan hanya pada bacaan dan hafazan, tetapi penghayatan yang membentuk peribadi,” ujarnya.

Program itu turut menjadi platform memperkukuh ukhuwah sesama asatizah, membina komuniti celik Al-Quran dan memperkasa jaringan dakwah wanita di negeri ini.

Tambah beliau, kerajaan negeri komited memastikan murabbi Al-Quran tidak bergerak sendirian dalam usaha membina ummah, sebaliknya terus diberi sokongan dari segi dasar dan pembangunan kapasiti.

“Semoga daripada tangan-tangan para murabbi inilah lahir generasi yang cintakan Al-Quran, berakhlak mulia dan menjadi kebanggaan negeri serta ummah,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan