• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Mural Baharu Bakal Jadi Tarikan Pengunjung Ke Primula Beach Hotel

    
KUALA TERENGGANU, 15 September - Bermula hari ini, jika berkunjung ke Primula Beach Hotel (PBH) Kuala Terengganu, pastikan anda melihat mural pertama yang menggabungkan pelbagai elemen seperti pembangunan, seni warisan kehidupan, dan keindahan pantai dan tasik yang terdapat di negeri ini.

Pengurus Besar PBH, Suaibah  Harun berkata, mural sepanjang kira-kira 50 meter yang dihiasi identiti dan lokasi pelancongan menarik di Terengganu menjadi produk baru yang mampu menarik lebih ramai pengunjung untuk datang hotel berkenaan.

Katanya selain menjadi yang terpanjang di negeri ini, mural yang diinspirasikan empat anak jati Terengganu ini mengambil masa selama 15 hari bagi menyiapkan lukisan mural berkenaan bermula pertengahan Ogos lalu.

“Pengunjung dapat saksikan lukisan Jambatan Angkat Terengganu (Drawbridge), Tasik Kenyir, Pasar Kedai Payang, Muzium Terengganu dan Pantai Batu Buruk yang cukup terkenal di Terengganu.

“Mural itu juga memaparkan keindahan seni dan warisan yang sinonim dengan masyarakat negeri ini seperti wau bulan, batik, songket dan perahu nelayan yang merupakan hadiah istimewa sebagai 'photo booth' kepada pengunjung Anjung Bistro Garden dan tetamu Primula Beach Hotel khasnya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Mural yang disempurnakan Pengerusi PBH, Dato' Mustapha Ali, Perkarangan Tempat Letak Kereta Zon A (Anjung Bistro Garden), hari ini.

Tambahnya, seramai empat pelukis tempatan diketuai Cikgu Budin, Razali Che Mat, Nazli Hamzah dan Ahmad Saipudin Abdul Ghani bergabung tenaga menerusi kepakaran masing-masing secara sukarela bagi menyiapkan lukisan tersebut.

Dalam majlis yang sama, turut diadakan acara mengacau bubur Asyura yang merupakan tradisi hotel berkenaan sempena bulan Muharam setiap tahun sejak 20 tahun lalu.

"Kita menyediakan sebanyak tiga kawah bubur yang dibuat secara bergotong-royong oleh warga kerja hotel dan ia akan diagihkan kepada masjid dan surau berdekatan serta warga kerja hotel," katanya.

Beliau juga berkata, sebagai menyambut Hari Malaysia, pihaknya turut menganjurkan Pertandingan Mewarna Kanak-kanak pada majlis berkenaan yang disertai kanak-kanak Tadika Fajar Didik dan Tadika Rossa.