• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Mushaf Al-Quran Terengganu Diisytihar Warisan Kebangsaan

KUALA NERUS, 11 Disember– Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah hari ini berkenan mencemar duli menyempurnakan perisytiharan Mushaf Al-Qur’an Terengganu dalam Majlis Santapan Petang Sempena Majlis Konvokesyen UMT Ke-20 di sini.

Pada majlis perisytiharan itu, empat Mushaf al-Quran Terengganu koleksi Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) telah berjaya diwartakan sebagai warisan di bawah akta Warisan Kebangsaan 2005 (akta 645).

Pada majlis yang sama, KDYMM Sultan dan KDYMM Sultanah turut berkenan melawat pameran Kesucian dan Keindahan Mushaf al-Quran Diraja Terengganu.

Pameran ini memaparkan secara terperinci keunikan yang ada pada mushaf-al-Qur’an Terengganu meliputi diaspora, kaligrafi, motif, material dan penjilidan sehingga ianya diterima untuk diwartakan sebagai warisan negara.

Turut hadir dalam Majlis itu, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar, Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Yahaya Ali dan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja.

Sementara itu, Naib Canselor UMT Profesor Dato` Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata usaha pewartaan ini telah mula digerakkan pada tahun 2020 oleh penyelidik UMT.

Tambahnya pengetahuan umum mengenai keunikan warisan kesultanan Terengganu ini perlu dihebahkan kepada masyarakat.

Di samping, pewartaan ini bertujuan agar usaha pemuliharan dapat dilakukan oleh pihak-pihak berkaitan demi kelestarian warisan budaya negara.

Untuk rekod, kajian UMT telah merekodkan 45 manuskrip ini berada dalam dan luar negara.

"Jumlahnya yang banyak melebihi daripada apa yang dijangkakan, kerana untuk menghasilkan satu-satu manuskrip tulisan tangan pada abad ke 19 ini memerlukan tuntutan masa, tenaga dan kos yang tinggi.

"Ini sekaligus membuktikan negeri Terengganu pernah menjadi pusat penyalinan mushaf al-Qur’an yang paling terkemuka dan terkenal di Asia Tenggara," jelasnya.

 


Tag: