• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Musim Tengkujuh : Penduduk Seberang Takir Dinasihat Terus Berwaspada

KUALA NERUS, 6 Disember – Penduduk Daerah Kuala Nerus terutama di Seberang Takir dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dengan sebarang potensi cuaca buruk ekoran musim tengkujuh yang sedang melanda.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Nerus, Kapt.(PA) Zahidi Zainuddin, komuniti yang tinggal di kawasan yang berisiko banjir perlu sentiasa bersedia dengan apa jua keadaan yang bakal terjadi berikutan keadaan hujan yang berterusan baru-baru ini.

“Mohon penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir untuk sentiasa memantau pergerakan ahli keluarga terutama kanak-kanak agar tidak mendekati kawasan seperti parit, sungai serta tempat-tempat takungan air.

"Pastikan juga dokumen penting disimpan di tempat tinggi serta selamat," ujarnya yang juga Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah tersebut.

Beliau turut menasihati agar sentiasa berhati-hati dengan kehadiran binatang berbisa yang mencari tempat perlindungan seperti di kawasan rumah dan juga di dalam rumah.

Tambahan lagi, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, Terengganu menjangkakan episod hujan lebat berterusan bermula semula Khamis ini. 

Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fadil Wahab turut menasihati penduduk Seberang Takir untuk sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan air pasang yang melanda akibat kehadiran musim tengkujuh ini.

“Saya nasihatkan supaya komuniti di sini elakkan terlalu leka dan jangan biarkan ahli keluarga untuk keluar bermain air di musim sekarang.

"Jika kita lihat kedudukan air laut dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu, paras air laut dilihat semakin naik ekoran cuaca sekarang," jelasnya.

Beliau turut menegaskan agar penduduk yang mengalami masalah dan musibah terus berhubung dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat agar dapat dihulurkan bantuan untuk membantu mangsa.

Terdahulu, Seberang Takir merupakan antara kawasan yang mempunyai mangsa banjir yang paling ramai di daerah Kuala Nerus dan mereka ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) hingga cuaca kembali pulih.