• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Musim Tengkujuh : Penoreh Getah Perlu Bantuan

SETIU, 18 November – Musim tengkujuh yang melanda beberapa negeri di Pantai Timur memberi impak kepada penoreh getah dan nelayan yang tidak dapat bekerja seperti biasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, perkara itu perlu ditangani dengan baik kerana ia boleh menjejaskan kehidupan golongan tersebut terutamanya melibatkan bekalan asas.

"Alhamdulillah, sebahagian stok makanan ruji persiapan musim banjir sudah tiba. Beras dari sawah padi Terengganu dan dikilangkan di Terengganu. Walau susah macam mana sekalipun, wajib kita kena pastikan setiap rumah di Jabi ada beras,

"Tengkujuh adalah musim sukar untuk penoreh terutama penyandang jawatan 'noreh getah orang'. Dari tangga ke tangga kita kunjungi dalam program ziarah cakna penoreh sekitar Kampung Tok Dor, Kampung Bahagia, Kampung Padang Lengkuas, Kampung Tasik Nibong, Kampung Bukit Jeruk, Kampung Kerandang, Kampung Pondok Paku, Kampung Gong Dasar dan Kampung Matlain Badrin.

"Alhamdulillah, sempat 60 buah rumah sahaja hari ni. Insya-Allah akan disusuli lagi di beberapa lokaliti lain yang masih berbaki," katanya selepas menyerahkan sumbangan kepada penoreh getah di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi, baru-baru ini.

Mengulas tentang banjir, beliau yang juga ADUN Jabi memaklumkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan keperluan untuk mangsa banjir yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

"Di Jabi yang berpindah ke PPS tak berapa ramai. Majoritinya tak berpindah tetapi mereka adalah mangsa musim banjir terutamanya penoreh getah. Inilah yang perlu kita selesaikan dan disantuni. Tentunya bantuan ini tak akan sampai ke setiap rumah di Jabi sebagaimana agihan masa Perintah Kawalan pergerakan (PKP) dulu.

‘’Biarlah berat sama dipikul, susah sama dirasa dan kepayahan sama diringankan. Ternyata beban yang perlu dipikul atas dunia terlalu ringan berbanding beratnya bebanan amanah yang perlu kita jawab di hadapan Allah.

‘’Kami bukan yang terbaik. Tetapi kami berusaha untuk sentiasa hadir ketika rakyat dalam kesukaran," tambah beliau.