• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Muzium Bukit Besi Sasar Kehadiran 36,500 Pengunjung Setahun

DUNGUN, 17 Oktober- Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) mensasarkan kehadiran 36,500 setahun ke Muzium Bukit Besi terutama peminat sejarah untuk menelusuri sejarah kegemilangannya seketika dahulu.

Pengerusinya, Senator Dato Razali Idris berkata ia bukan sahaja menjadi tarikan kepada pengunjung dalam negara bahkan warga asing akan bertumpu terutama bagi mereka yang mempunyai nenek moyang yang pernah bekerja di lombong Bijih Besi.

Katanya, pembinaan muzium berkenaan sangat penting dalam menyokong operasi dan pakej Pelancongan Bukit Besi Bandar Bersejarah sebagaimana Laporan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Bukit Besi dengan memfokuskan kepada sejarah perlombongan bijih besi.

"Kita akan buat promosi secara besar-besaran dan kita juga dalam usaha untuk mengumpulkan lagi bahan-bahan yang bersesuaian untuk memberi gambaran dan maklumat kepada orang ramai untuk dijadikan sebagai pusat rujukan untuk tujuan ilmiah oleh institusi pendidikan.

"Untuk dua bulan pertama ini kita buka secara percuma kepada orang ramai untuk hadir, di mana dalam satu masa boleh memuatkan 100 pengunjung dalam suatu masa pada fasa endemik nanti,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media pada Majlis Pra Pembukaan Muzium Bukit Besi, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata muzium berkenaan akan dirasmikan sepenuhnya oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam masa terdekat.

"Kita juga telah menandatangi perjanjian dengan pihak Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Univerisiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk mengkaji artifak ataupun peninggalan sejarah dahulu yang ada di sekitar Bukit Besi ini.

"Dengan wujudnya muzium ini, secara tidak langsung dapat mempromosikan produk-produk pelancongan yang sedia ada di kawasan berhampiran muzium juga di Bukit Besi ini seperti sejarah pasir Raja dan kita juga mempunyai Pokok Chengal terbesar di Asia Tenggara," katanya lagi.

Tambah beliau, pihaknya juga mensasarkan 600 penduduk sekitarnya akan terlibat dalam pelbagai bidang bagi menjana ekonomi setempat.

"Harapan saya dan semua penduduk agar pembinaan muzium ini dapat memelihara nilai sejarah yang ada ini untuk tatapan generasi akan datang selain merancakkan lagi sektor pelancongan negeri Terengganu," katanya.

Menurut Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia kawasan Dungun, Wan Mohd Rosli Wan Ngah Bukit Besi merupakan nadi pertumbuhan eknomi yang penting dalalam negara apabila aktiviti perlombongan dimulakan oleh Kuhara Mining dari Jepun pada Mei 1930 yang beroperasi 24 jam.

Justeru itu katanya, pihaknya bersama 130 ahli persatuan berusaha mengumpul maklumat dan bukti semua perkara bersejarah untuk dijadikan rujukan bertepatan dengan muzium yang diwujudkan tersebut, agar generasi pada hari ini mengetahuinya.

"Kami juga menghubungi dan mencari semula bekas pekerja yang pernah tinggal di Bukit Besi malah turut berhubung dengan waris warga asing yang pernah menetap di sini. Sebahagian peralatan yang ada telah dibeli daripada pemilik asal dan juga disumbangkan oleh waris dari Kanada dan Australia," ujarnya.

Untuk rekod, antara monumen yang terdapat di muzium untuk pengunjung mengimbau kembali sejarahnya itu ialah, Stesen Crushing Plant, Stesen Opal, Stesen Kolam Renang, Stesen Simpan Bahan Letupan dan Stesen Chimney.