• 24 Okt 2020 | 7 Rabiul Awal 1442

MyHackathon Cari Pakar Media Sosial

KUALA TERENGGANU, 5 Oktober- Terengganu menjadi destinasi kedua bagi Program MyHackathon 2020 mahu mencari lebih ramai pakar media sosial berkaitan penggunaan teknologi dan digitalisasi.

Program di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan diusahakan Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) itu antara inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara  (Penjana).

Tujuannya memberi fokus kepada pencarian penyelesaian segera menambah baik perkhidmatan terpilih kerajaan yang kini berdepan wabak COVID-19.

Ketua Pegawai Operasi Cradle, Razif Aziz berkata,  pemenang siri MYHackthon 2020 ini akan menerima geran mengikut kategori yang disediakan.

"MYHackathon 2020 menyediakan ekosistem untuk 'technopreneur' permulaan dan sedia ada mendapat pendedahan, dipupuk serta berkembang dengan sokongan kementerian dan agensi yang mengambil bahagian.

"Mereka yang berumur 18 tahun ke atas boleh berkolaborasi dalam pasukan dua hingga lima orang dan menyertai secara suka-suka bagi menyuarakan idea mereka atau dengan memberi komitmen jangka masa panjang," katanya pada sidang media selepas siri jelajah promosi MYHackathon 2020 di sini, hari ini.

Katanya, setakat ini pihaknya sudah menerima 120 permohonan dari Terengganu dan bermungkinan akan bertambah penyertaan dari semasa ke semasa.

“MYHackathon 2020 terbahagi kepada dua kategori iaitu Sprint dan Marathon. Kategori Sprint Ideation terbuka kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas manakala, kategori Marathon pula adalah untuk mereka yang komited untuk melihat perubahan dan menyelesaikan masalah yang sudah dikenal pasti.

“Sekiranya peserta dari kategori Marathon ini dipilih sebagai pemenang, mereka akan terus dapat membina penyelesaian dalam masa 12 bulan sehingga mencapai tahap perintis,” katanya.

Secara keseluruhannya, sepanjang siri MYHackthon 2020 ini, 18 pemenang daripada kategori Sprint bakal memenangi sehingga RM10,000 setiap kumpulan manakala geran bersyarat sebanyak RM250,000 daripada Cradle pula bakal dimiliki 18 pemenang kategori Marathon.

 


Tag: