• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Nabil Bolot Podium Peringkat Akhir Tour Gateh D'Tranung 2022

KEMAMAN, 25 Mac - Pelumba Heavy Cycling Club, Sofian Nabil Omar Mohd Bakri mencipta kejutan apabila 'merampas' semua kedudukan teratas bagi setiap kategori dalam saingan peringkat keempat Tour Gateh D'Tranung 2022, hari ini.

Pelumba lebuh raya negara kelahiran Kuala Terengganu itu berkata, setelah tiga hari perlumbaan, beliau berjaya merealisasikan hasrat mencipta pencapaian bagi pasukannya yang masih 'hijau' dengan mengungguli saingan terakhir dalam kejohanan berkenaan.

"Hari ini saya berjaya sapu ketiga-tiga kategori iaitu gelaran pecut, raja bukit dan juara keseluruhan bagi peringkat terakhir perlumbaan ini.

"Ini satu kejayaan besar buat Heavy Cycling Club yang baru sahaja ditubuhkan. Dalam kumpulan ini, hanya saya pelumba berpengalaman dan ada diantara kami yang baru pertama kali berlumba," katanya selepas majlis penyampaian hadiah saingan terakhir di Padang Astaka Chukai, di sini hari ini.

Jelasnya, berdasarkan pengalaman yang ada, beliau 'membaca' persaingan di peringkat -peringkat awal sebelum meledak tenaganya pada perlumbaan terakhir dalam saingan sejauh 111.4 KM dari Dungun ke Kemaman itu.

"Alhamdulillah, segalanya berjalan sebagaimana dirancang dan saya berhasil menaiki podium setelah dua tahun tidak berlumba secara jelajah," katanya.

Pelumba-pelumba bersaing untuk kategori raja bukit di Bukit Kijal dalam saingan hari ini.

Nabil kali terakhir menyertai perlumbaan berprestij ketika beraksi untuk pasukan negara dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi 2020 sebelum pandemik Covid-19 melanda.

 

 

 

 


Tag: