• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Nafi Kuat Kuasa Had masa Keluar Rumah

KUALA TERENGGANU, 17 Mei – Polis Marang menafikan pihaknya telah mengeluarkan arahan perintah berkurung bermula jam 10 malam dan akan menangkap sesiapa yang melanggar arahan berkenaan.

Ketuanya, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, pihaknya mengesan berita palsu berkenaan yang ditularkan melalui media sosial sejak Ahad lalu.

"Kenyataan yang dikeluarkan itu adalah tidak benar. 

"Justeru, orang ramai dinasihatkan bertenang dan tidak mudah mempercayai serta terpengaruh dengan berita yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau lagi, penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dengan niat membuat penyebaran berita dan kandungan palsu adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun.

PDRM bagaimanapun meminta orang ramai patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan ketika ini bagi mengelakkan penularan wabak pandemik COVID-19 dalam komuniti.

Pada Ahad, tular maklumat palsu mengatakan PDRM Marang akan melaksanakan pematuhan PKP dan menguatkuasakan had masa PKP bermula malam Ahad.

Info tersebut turut mengatakan mana-mana individu atau kumpulan yang didapati berada di luar rumah atau premis kediaman melebihi jam 10 malam tanpa alasan munasabah akan dikenakan tindakan dan kompaun mengikut Akta 134.

Berdasarkan maklumat tersebut, nilai kompaun yang akan dikenakan ialah sebanyak RM2,000 hingga RM5,000 bergantung kesalahan.