GERIK, 9 Jun - Sekurang-kurangnya 15 orang disahkan maut manakala puluhan lagi cedera dalam satu kemalangan ngeri membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, awal pagi tadi.
Menurut maklumat awal, kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 1.10 pagi apabila pihak Hospital Gerik menerima panggilan mengenai kemalangan jalan raya berimpak tinggi di kawasan berkenaan.
Bas yang terlibat dilaporkan membawa penuntut UPSI dari Jerteh, Terengganu menuju ke Tanjung Malim, Perak dan bertolak sekitar jam 9 malam semalam. Difahamkan, bas tersebut terbalik selepas bertembung dengan Perodua Alza di laluan berbukit dan berliku itu.
Laporan Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Perak memaklumkan, seramai 13 mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gerik.
Pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik yang diketuai seorang pegawai bersama tiga anggota tiba di lokasi pada jam 2.11 pagi bagi operasi menyelamat mangsa.
Dalam perkembangan awal, dua mangsa wanita yang mengalami kecederaan parah – masing-masing patah tangan dan cedera di kepala – dihantar ke Hospital Gerik pada jam 2.28 pagi.
Seramai tujuh mangsa dilaporkan dirawat di zon merah, 20 di zon kuning, manakala enam lagi di zon hijau, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang terlibat melebihi 40 orang.
Sementara itu, Universiti Pendidikan Sultan Idris menerusi satu hantaran di laman rasmi Facebook turut menzahirkan doa dan sokongan kepada semua pelajar yang terlibat.
“Semoga dipermudahkan segala urusan buat pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris yang terbabit dalam kemalangan jalan raya awal pagi ini,” katanya ringkas.
Setakat ini, siasatan lanjut masih dijalankan pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian