Nahas UPSI : Kerajaan Terengganu Salur Bantuan Segera

Oleh : Noraini Jusoh

KUALA TERENGGANU, 9 Jun - Kerajaan Negeri Terengganu akan menyalurkan bantuan segera kepada waris mangsa tragedi kemalangan bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Lebuh Raya Timur-Barat, Banun, Hulu Perak (Gerik), awal pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, ia termasuk bantuan kebajikan dan khidmat kaunseling serta sokongan psikososial kepada keluarga dan rakan-rakan mangsa.

"Saya telah mengarahkan jabatan serta agensi berkaitan untuk menyelaras segala urusan dengan pihak universiti, hospital serta kerajaan Persekutuan bagi memastikan setiap mangsa dan waris menerima bantuan sewajarnya.

"Kami menyeru seluruh rakyat Terengganu dan Malaysia untuk sama-sama menadah tangan mendoakan semoga roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para syuhada dan orang yang soleh.

"Semoga mereka yang cedera diberi kesembuhan segera dan seluruh keluarga yang diuji diberikan ketabahan luar biasa dalam menghadapi saat yang sangat sukar ini," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Satiful. 

Pada masa yang sama, beliau yang mewakili kerajaan negeri dan seluruh warga Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa tragedi kemalangan itu.

"Tragedi ini menyayat hati kita semua. Bas yang membawa pelajar dari Jerteh ke UPSI itu dilaporkan mengalami kemalangan yang turut melibatkan kenderaan lain.

"Maklumat awal menyatakan seramai 42 pelajar menaiki bas tersebut, manakala 4 orang awam terlibat dalam kenderaan berasingan," ujarnya.

Beliau dimaklumkan, 15 orang telah disahkan meninggal dunia, termasuk 13 di lokasi kejadian dan 2 lagi di hospital.

"Mangsa lain kini dirawat di hospital dalam pelbagai tahap kecederaan.

"Difahamkan, majoriti pelajar yang menaiki bas adalah anak-anak Terengganu yang pulang ke kampus selepas bercuti sempena Hari Raya Aidiladha.

"Mereka pergi dalam keadaan yang amat mulia, kembali menuntut ilmu dalam perjalanan yang penuh niat suci. Pemergian mereka adalah satu kehilangan besar buat keluarga, masyarakat dan negeri," ujarnya.
 


Tag: