• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Naik Taraf Katil PKRC, Strategi Hadapi Peningkatan COVID-19

KUALA TERENGGANU, 2 Jun – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengambil langkah proaktif dengan menaik taraf 71 katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Kolej Jururawat sebagai katil tambahan wad COVID-19 untuk Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, langkah itu dibuat selepas mengambil kira peningkatan kes COVID-19 bagi kategori 3.

Namun katanya, ia tidak bermaksud katil biasa COVID-19 di Terengganu sudah tenat sebaliknya ia merupakan strategi dan keperluan.

"Manakala untuk katil ICU pula, seiring dengan peningkatan pesakit yang memerlukan perawatan ICU maka 17 katil ICU tambahan telah disediakan menjadikan jumlah katil ICU untuk merawat kes COVID adalah 37 buah semuanya.

“Setakat semalam hanya 14 kes sedang dirawat di ICU yang mana darinya memerlukan bantuan pernafasan. Katil ICU untuk merawat kes bukan COVID-19 juga disediakan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa HSNZ merupakan satu-satunya hospital dalam negeri ini yang menawarkan pelbagai perkhidmatan kepakaran di Terengganu.

“Oleh itu, hanya 236 katil atau 21 peratus daripada 1,107 katil di HSNZ yang boleh dikhaskan untuk merawat kes COVID-19.

“Justeru, HSNZ tidak boleh dijadikan hospital rawatan COVID-19 sepenuhnya kerana mereka turut merawat kes bukan virus pandemik termasuk dari daerah luar seperti Marang, Hulu Terengganu dan Setiu jika perlu dimasukkan ke wad," katanya lagi.

Jelasnya, dua hospital lain iaitu Hospital Setiu (76 katil) dan Hospital Hulu Terengganu (124 katil) turut dikhaskan untuk merawat kes virus itu sepenuhnya.

Dr Nor Azimi turut menasihati seluruh rakyat Terengganu agar kekalkan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk mengelakkan berlakunya masalah kekurangan katil.

“Namun sekiranya peningkatan kes positif berterusan, tidak mustahil kita juga mungkin akan mengalami masalah ketiadaan katil biasa atau katil ICU untuk merawat kes virus di Terengganu,” tegasnya.