• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Nantikan Wajah Baru Kampung Budaya Terengganu

KUANTAN, 5 Jun- Rakyat negeri ini bakal melihat wajah baru Kampung Budaya Terengganu apabila ia bakal di naik taraf tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, kerajaan persekutuan telah memberikan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk kerja-kerja penambahbaikan yang akan dijalankan dalam masa beberapa bulan lagi.

"Saya ingin maklumkan bahawa kita mungkin tidak akan tutup Kampung Budaya sepanjang proses berkenaan meskipun Jabatan Kerja Raya (JKR) mencadangkan supaya ia ditutup sementara.

"Kita telah berbincang dengan JKR supaya ada ruang itu (untuk dibuka) kerana masih ada pekerja-pekerja yang bekerja di sana.

"Kita akan mengambil alternatif mengadakan laluan masuk dari pintu belakang (bersebelahan Masjid Tok Ku Paloh) dan ini kita akan maklumkan nanti," katanya ketika ditemui di Majlis Dialog Bersama Pimpinan Terengganu dan Anak Perantau Pahang di sini, hari ini.

Tambahnya, penambahbaikan itu akan memberi suntikan baru dalam mengetengahkan kebudayaan dan identiti kesenian Terengganu kepada pelancong.

"Insya-Allah, tahun hadapan kita akan lihat wajah baru Kampung Budaya Terengganu," katanya.

Dalam majlis anjuran Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), lebih 200 perantau hadir dan bersua dengan wakil-wakil kepimpinan negeri antara lainnya ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Negara, Senator Dato'Husain Awang; Pengerusi Perantau Pahang, Dr. Hasbullah Mohamad serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli parlimen negeri.

Program dialog dan pertemuan menjadi salah satu medium perantaraan kerajaan Terengganu untuk menyampaikan maklumat serta bantuan kepada anak-anak negeri di perantauan dan kini telah diadakan di Kedah dan Perak.

Program dialog berkenaan akan turut diadakan di Johor, hujung minggu ini.

 


Tag: