Peralihan Fasa Bukan Tiket Bertindak Bebas, Abai SOP

KUALA TERENGGANU, 2 September - Seluruh rakyat awam dinasihatkan supaya tidak salah mentafsirkan peralihan fasa kedua ke fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebagai ruang untuk bertindak bebas serta mengabaikan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Perkara tersebut diseru oleh Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad, yang menyifatkan pandangan umum masyarakat itu memberi banyak ruang yang boleh merisikokan kehidupan harian.

“Maksudnya, ia bukan jaminan virus sudah tiada, sebaliknya kelonggaran ekonomi tersebut lebih kepada keupayaan negeri dalam menangani isu dengan lebih baik.

“Penjagaan kesihatan awam dan pematuhan peraturan adalah sesuatu yang perlu dikekalkan tanpa mengambil mudah kemudahan untuk bertindak bebas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Inspirasi Kejayaan Hebat Lonjakan Aspirasi Strategik Bersama Warga MKN Terengganu, di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah MKN Terengganu, Mohd Yusri Yusof.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan tahap pematuhan SOP dalam rakyat negeri adalah baik dan memuaskan dengan mengikuti aspek-aspek utama seperti penjarakan fizikal dan pemakaian topeng pelitup muka sepanjang masa.

“Saya lihat kebanyakan rakyat Terengganu tidak mengambil tindakan berhimpun atau berkumpul yang mendedahkan kepada penularan virus,” katanya lagi.

Terdahulu, Rodzi telah membuat kunjungan hormat bertemu dengan Menteri Besar Terengganu bagi membincangkan langkah-langkah membendung penularan COVID-19 terutamanya melalui usaha pemvaksinan yang lebih agresif.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak turut melaporkan, Terengganu dijangka memasuki fasa seterusnya PPN selewat-lewatnya dalam bulan September ini,” katanya.