Terengganu Peruntuk RM6 Juta Bantu Pelajar Sambung Master, PhD
MARANG, 29 Januari - Jabatan Perikanan Malaysia (JPM) Terengganu berjaya menahan tiga bot pukat tunda nelayan negeri jiran yang menceroboh dan mencuri hasil perikanan di perairan Merchang, di sini sekitar jam 1.00 hingga 2.00 pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim ketika meninjau bot-bot yang ditahan di Pelabuhan Perikanan Chendering, hari ini berkata, tindakan lanjut akan dilakukan pihak bertanggungjawab terhadap pencerobohan itu.
"Bagi pihak kerajaan negeri saya mengucapkan tahniah kepada JPM Terengganu di atas kejayaan menangani aduan nelayan kita yang berhadapan ancaman pencerobohan khususnya bot pukat tunda negeri jiran.
"Sebenarnya ia satu isyarat kepada penceroboh yang mencuri khazanah laut kita di perairan Terengganu bahawa walaupun dalam keadaan laut bergelora, penguatkuasa kita tidak 'tidur'.
"Saya dimaklumkan, bot yang ditahan melanggar Akta Perikanan 1985; apabila melakukan tangkapan menggunakan pukat tunda pada jarak enam batu nautika dari pantai.
"Ada dua kesalahan yang dilakukan bot yang ditahan. Pertama, Akta Perikanan 1985 menetapkan bahawa 12 batu nautika adalah zon tangkapan negeri tersebut dan dalam kes ini ia adalah kawasan eksklusif nelayan Terengganu sahaja," jelasnya.
Beliau menambah, kesalahan kedua membabitkan aktiviti pukat tunda yang hanya dibenarkan pada 12 batu nautika ke atas.
Menurut Dr. Azman, semua bot merupakan pemilikan tempatan namun dioperasikan kru asing daripada Myanmar seramai 15 orang berusia antara 21 hingga 50 tahun.
"Pada pemeriksaan awal, didapati dokumen pengenalan diri mereka agak meragukan, jadi hal ini diserahkan kepada pihak imigresen untuk siasatan lanjut.
"Rampasan pula terdiri ikan campur bernilai RM500 ribu dengan keseluruhan nilai tangkapan berserta peralatan bernilai RM3 juta," katanya.
Berdasarkan rekod, tangkapan berkenaan merupakan tangkapan pertama JPM Terengganu pada tahun ini.
Tahun lalu, kerjasama JPM Terengganu dan Polis Marin dalam 28 operasi telah berjaya melakukan 47 tangkapan melibatkan satu bot nelayan asing dan selebihnya merupakan bot negeri jiran.