• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 13 April – Seorang nelayan menghadapi detik yang mencemaskan apabila bot yang dinaikinya terbalik akibat dipukul ombak pada sekitar jam 8 pagi, kelmarin.

Mangsa, Salin Jusoh, 66, pada ketika itu sedang membawa bot bersendirian untuk turun ke laut bagi menjalankan pekerjaan hariannya sebagai nelayan. 

“Kalau mengikut perkiraan saya kebiasaannya ombak pada waktu itu sudah mula kecil, tetapi tiba-tiba datang ombak besar.

“Jadi, bila datang ombak besar terus dia ‘baling’ bot saya dan bot saya terbalik.

“Kemudian, saya berpaut pada tong ikan dan cuba pergi ke daratan,” kata beliau ketika ditemui pemberita di Jeti Kuala Ibai. 

Tambah beliau lagi, setelah tiba di daratan dalam keadaan yang letih, beliau telah mendapatkan bantuan rakan-rakan nelayan yang ada di sekitar untuk membantu dan menunda bot miliknya. 

ADUN Batu Buruk menemui mangsa

Kejadian tersebut telah menarik perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi yang telah turun menemui mangsa di Jeti Kuala Ibai.

“Alhamdulillah, mangsa selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Namun, bot milik beliau mengalami sedikit kerosakan dan peralatan yang digunakan untuk menangkap ikan telah tenggelam.

“Justeru, sedikit sumbangan telah diserahka untuk sekurang-kurangnya dapat menampung sebahagian daripada kerugian yang beliau alami,” kata Ustaz Muhammad Khalil kepada pemberita.

Keadaan bot mangsa selepas kejadian tersebut