• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

NGO Dianggotai Wanita Disaran Tubuh Koperasi

Oleh: Pok Abbas

KUALA TERENGGANU, 17 Februari - Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang dianggotai kaum wanita di negeri ini disaran untuk menubuhkan koperasi bagi memastikan nasib mereka lebih terbela.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, dengan inisiatif tersebut, golongan berkenaan dapat menerima faedah yang lebih menyeluruh berikutan sifat inklusiviti koperasi dalam memenuhi keperluan sosial dan ekonomi anggotanya.

"Selain sebagai usaha mencari dana untuk melaksanakan pelbagai aktiviti yang mendatangkan manfaat bersama, banyak kebaikan jika mereka semua dapat berada dalam satu koperasi. 

"Di situ banyak aktiviti dapat dilaksanakan untuk mencari dana sekiranya mampu untuk menguruskan koperasi dengan baik" ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Hi-Tea Bersama YB Ustaz Ariffin Deraman dan YB Zuraida Md Noor di Dewan Komuniti Kampung Panji di sini, kelmarin. 

Program anjuran Badan Bukan Kerajaan (NGO), Persatuan Sepakat Usahawan  Wanita Terengganu (SEMUT) itu, telah dihadiri seramai 100 orang peserta.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor dalam ucapannya berkata, memandangkan taraf sosio-ekonomi makin tinggi sangat wajar muslimat meneroka sesuatu yang baru. 

"Dengan menceburi bidang yang mampu menghasil pendapatan tambahan dan melangkah setapak menubuhkan koperasi yang kebanyakannya di kuasai kaum lelaki, InsyaAllah, kaum hawa di Terengganu ini akan lebih ke hadapan ," katanya.


Tag: