'NGO Membantu Mangsa Banjir Perlu Patuhi SOP'

KUALA TERENGGANU, 26 November - Badan Bukan Kerajaan (NGO) atau mana-mana pihak yang ingin membantu mangsa-mangsa banjir diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, tindakan itu adalah perancangan jangka panjang Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri (SPBN) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

"Apabila mangsa balik ke rumah masing-masing selepas banjir surut, NGO atau sesiapa sahaja yang ingin membantu membersihkan rumah mereka tidak boleh bergotong-royong secara terlalu ramai dibimbangi menyebabkan penularan pandemik.

"Kita boleh beri, tetapi mengikut had yang sesuai," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sewaktu tinjauan paras air semasa di Tasik Kenyir, hari ini.

Jelasnya, SPBN berdepan cabaran besar dalam melaksanakan norma baharu di Pusat Pemindahan Banjir (PPS).

"Kita boleh atasi dari segi bilangan mangsa, cuma apabila hujan lebat anggota kita mengalami kesukarang untuk melaksanakan pematuhan SOP seperti mengambil suhu badan dan sebagainya sebelum masuk ke PPS. Walaupun begitu kita cuba atasinya dari masa ke masa.

"Apabila mangsa yang dipindahkan agak ramai sekaligus, itu adalah cabaran semasa, dari segi 'main power' juga perlu ditingkatkan dan pematuhan SOP agak sukar untuk dilaksanakan sepenuhnya tetapi kita berusaha ke arah itu sebaik mungkin,"katanya.

Oleh itu, katanya SPBN mengambil tindakan pencegahan awal dan sentiasa mewara-warakan kepada masyarakat untuk sentiasa bermunajat serta berdoa supaya keadaan tidak semakin memburuk.

"Kita juga sentiasa memaklumkan penduduk di kawasan-kawasan berisiko sebab kalau mereka berpindah awal, kita dapat uruskan secara berperingkat,

"Kita jangkakan SPBN di negeri-negeri lain juga menghadapi cabaran sama kerana ini adalah tahun pertama kita menguruskan banjir dalam norma baharu bagi mengekang Covid-19.

 

 

 


Tag: