Nikmati Kemeriahan Moreh Secara Beradab

Oleh: Mohamad Farhan Anam

KUALA TERENGGANU, 19 Mac – Umat Islam yang mengunjungi lokasi moreh yang tumbuh bak cendawan di negeri ini diingatkan agar memelihara adab dan menjaga kesopanan sepanjang bulan Ramadan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor mengakui, sokongan terhadap aktiviti moreh bukan sahaja membantu meningkatkan ekonomi rakyat tetapi juga mampu menarik pelancong ke Terengganu.

"Kak Da sangat berharap agar suasana moreh ini dihiasi dengan adab yang baik. 

“Tidak perlu hiburan keterlaluan, hormatilah kemuliaan Ramadan. Jagalah aurat dan batas pergaulan agar program yang baik ini tidak tercemar dengan perkara yang merosakkan keindahan bulan yang penuh berkah," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas turun padang mengimarahkan suasana disamping mengadakan program dakwah di salah satu lokasi moreh dengan pengisian ‘Chit Chat Ramadan’ bersama penceramah tersohor negara, Datuk Dr. Norhafizah Musa.

Mengulas lanjut, dengan berbaki kurang dua minggu sebelum Ramadan melabuhkan tirai, beliau menyeru orang ramai agar terus memanfaatkan bulan penuh kemuliaan ini dengan memperbanyakkan ibadah dan menikmati kemeriahan moreh secara beradab serta bermaruah.

"Alhamdulillah, ramai yang hadir bukan sekadar untuk membeli juadah, tetapi juga untuk menadah ilmu. Dalam masa yang sama, mereka turut menyokong para peniaga tempatan," ujarnya.

Katanya, keunikan suasana moreh di Terengganu dapat dilihat apabila kawasan jualan menjadi tumpuan selepas solat tarawih, malah ada dalam kalangan wanita yang masih mengenakan telekung solat ketika membeli juadah untuk mengalas perut selepas beribadah.
 


Tag: