KUALA TERENGGANU, 13 November - Terengganu akan terus mengekalkan kedudukan menjadi negeri paling bahagia melalui inisiatif yang telah diumumkan dalam Ucapan Belanjawan 2026 oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, inisiatif yang telah dikemukakan amat bertepatan bagi memastikan Terengganu bukan sahaja maju dari sudut pembangunan fizikal tetapi juga melalui pembinaan akhlak, moral dan kesejahteraan spiritual rakyat.
Katanya, melalui apa yang telah digariskan dalam belanjawan terbabit akan memastikan Terengganu akan menjadi negeri paling bahagia melalui keseimbangan hidup duniawi dan ukhrawi.
"Inisiatif seperti Kempen Kesedaran Jenayah (sivil dan syariah) akan memberi kefahaman kepada rakyat mengenai undang-undang serta tanggungjawab mereka agar lebih peka terhadap hukum dan terhindar daripada perkara yang membawa mudarat.
"Selain itu pengubalan enakmen berkaitan kesalahan jenayah syariah dalam talian yang dipertingkat juga akan membolehkan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara efektif," ujarnya ketika berucap pada sesi penggulungan di dalam Sidang Dewan Undangan Negeri, di Wisma Darul Iman, hari ini.
Dalam pada itu, Khalil berkata penubuhan Jawatankuasa Pematuhan Garis Panduan Syariah Negeri Terengganu akan memastikan setiap aktiviti, program dan dasar kerajaan negeri selaras dengan prinsip syariah dan nilai Islam.
"Bagi membina masyarakat yang berdisiplin, berakhlak mulia dan sejahtera.
"Kesemua usaha ini dijalankan secara bersepadu bersama agensi-agensi kerajaan terbabit," jelas beliau.