• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Nilai Rampasan Dadah Di Terengganu Meningkat

KUALA TERENGGANU, 3 November - Nilai rampasan dadah di Terengganu tahun ini meningkat dengan RM5.2 juta nilai dadah yang dirampas berbanding tahun lalu iaitu sebanyak RM2.8 juta.

Timbalan Ketua Polis Terangganu, SAC Norhalid Kimi berkata, dadah paling tinggi dirampas ialah syabu iaitu sebanyak 15,879 gram berbanding hanya 5,278 gram tahun lepas dan kedua ialah pil kuda (11,799 gram) serta heroin (4,381 gram).

"Kita juga dapat lihat, sejak Januari hingga 27 Oktober ini, seramai 1159 orang telah ditangkap dalam kategori bekalan ( Sek 39B, 39A(2) dan Sek 39A(1) , meningkat sebanyak 31.41 peratus berbanding tempoh sama hanya 882 orang pada tahun lalu.

"Manakala kategori memliki iaitu di bawah seksyen 12(2) dan Sek 6 Akta Dadah Berbahaya tempoh sama seramai 2031 orang ditangkap berbanding 2053 orang tempoh sama tahun sebelumnya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Penyerahan Barang Kes Narkotik Terengganu Tahun 2021 Bagi Program Pelupusan di ibu pejabat kontinjen Terengganu, hari ini. 

Turut hadir, Ketua JSJN Terengganu, Superintendan Tium Ming Kung.

Jelasnya, penurunan sebanyak 1.07 peratus dalam kategori memiliki disebabkan penumpuan diberikan kepada pengedar - pengedar dadah dalam kategori bekalan.

"Selain itu, tangkapan di bawah urin juga menurun 29.27 % iaitu seramai 4187 orang ditangkap berbanding tempoh sama 5920 orang tahun lepas.

"Ini kerana, penumpuan diberikan kepada penagih tegar adalah untuk memastikan mereka tidak mempengaruhi penagih - penagih baru atau remaja - remaja di kawasan mereka," katanya.

Dalam program yang berlangsung semalam, menyerahkan barang kes narkotik bernilai RM5.6 juta kepada Kualiti Alam Sdn. Bhd., sebuah syarikat berdaftar di bawah Jabatan Alam Sekitar untuk kaedah pelupusan lebih telus dan sistematik.

 

 

 

 


Tag: