• 10 Mei 2021 | 28 Ramadhan 1442

OKU Pendengaran Terharu Terima Mesin Jahit

SETIU, 18 Januari - Orang Kelainan Upaya (OKU) pendengaran, Tengku Noraini Tengku Mansor terharu apabila menerima sebuah mesin jahit industri dan sebuah mesin jahit tepi (kelim).

Tengku Noraini berkata, 'hadiah' daripada kerajaan negeri itu cukup bermakna buat dirinya yang telah telah menjana pendapatan dalam bidang terbabit sejak berusia 21 tahun.

"Saya mengambil upah menjahit di rumah, ini lah sumber pendapatan saya.

"Berkat sokongan suami, Kamaruzaman Yatim, perniagaan saya semakin baik dan kini dibantu oleh seorang pekerja sejak setahun yang lepas. 

"Saya sangat bersyukur dengan bantuan mesin ini. Terima kasih atas keprihatinan  Exco Kerajaan Negeri dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di sini yang sentiasa cakna akan penduduk yang memerlukan bantuan," katanya.

Tengku Noraini berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Mesin Jahit di kedai jahit Kampung Chalok Kedai, di sini kelmarin.

Majlis berkenaan turut dihadiri, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Mohd Iskandar dan Pegawai Khas Penyelaras DUN Langkap, Arif Mazlan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Abd Rahman yang hadir menyempurnakan majlis itu berkata, sumbangan tersebut adalah di bawah peruntukan Dana Prihatin Terengganu – OKU (D-HATI).

"Ia disediakan bertujuan untuk membantu usahawan OKU tempatan mengembangkan lagi perniagaannya. 

"Mesin jahit industri dan sebuah mesin jahit tepi (kelim) yang baru ini mampu menyiapkan jahitan dengan kadar segera.

“Kita harapkan infrastruktur yang diberi ini boleh menyelesaikan masalah dari segi kuantiti jahitan pakaian & mempercepatkan proses kerja," ujarnya.

 

 


Tag: