• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

One Stop Centre Pusatkan Maklumat Belia Setiap Daerah

KUALA TERENGGANU, 14 Oktober - Belia Terengganu bakal mempunyai kemudahan mendapatkan maklumat secara pantas dan tepat melalui Pusat Sehenti Belia yang akan diwujudkan di setiap daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pusat tersebut diyakini akan membantu mereka mendapatkan maklumat kerajaan negeri sewajarnya.

"Fokus utama menjadikan pusat ini sebagai pemudahcara kepada golongan belia khususnya. Bila ada sebarang keperluan, mereka boleh datang untuk mendapatkan panduan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media selepas persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Negeri Terengganu di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Mohd Izwandy Ismail dan Presiden Majlis Belia Negeri Terengganu, Amirullah Othman.

Menurut Wan Sukairi, usul berkenaan mendapat respon positif daripada ahli-ahli persidangan sebagai langkah untuk dilaksanakan dengan kerjasama agensi dan jabatan.

Dalam pada itu, mengulas lanjut, jelasnya, beliau mengharapkan agar kesemua 10 usul yang dikemukakan dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

"Harapan saya agar kesemua 10 usul ini perlu penambahbaikan agar lebih membumi. Keutamaan kepada portfolio belia supaya kita dapat membangunkan mereka dari sudut modal insan dan ekonomi," ujarnya.

Persidangan MPBN kali ini diadakan secara hibrid. Seramai 15 orang hadir secara fizikal manakala 126 orang ahli hadir secara virtual.


Tag: