• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

Operasi Bersepadu Bermula Di Terengganu

Muhammad Suffi (dua dari kiri) bersama  Haji Ahmad Amzad (kiri) memperlihatkan hasil tangkapan nelayan vietnam di Jeti Ibu Pejabat Maritim Negeri Terengganu hari ni,


KUALA TERENGGANU, 28 April - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Cawangan Terengganu (APMM) akan mengetuai operasi kawalan perairan laut secara bersepadu dengan agensi-agensi lain di sini tidak lama lagi.

Ini bertujuan membenteras kegiatan pencerobohan bot nelayan asing khususnya bot nelayan Vietnam yang berleluasa di perairan Malaysia hari ini.

Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, kertas 'Prosedur Operasi Standard' (SOP) sedang disiapkan untuk panduan operasi bersepadu berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat APMM di sini hari ini.

Baru-baru ini Kementerian Dalam Negeri telah mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Khas (Task Force) yang diketuai oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) sendiri.

Seorang nelayan Vietnam menunjukkan hasil tangkapan yang ada dalam bot mereka di Jeti Ibu Pejabat APMM hari ini.


Pasukan itu akan melibatkan anggota dari KDN, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Kastam, Jabatan Perikanan Malaysia (JPM), Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Katanya, APMM dilantik untuk menyelaras penubuhan pasukan petugas khas itu, sekaligus agensi itu akan mengepalai agensi-agensi berkaitan untuk mengkordinasikan operasi secara besar-besaran bagi membenteras nelayan tersebut.

"Kerajaan memang mengalu-ngalukan aduan orang awam mengenai nelayan asing kerana mereka memang amat mengganggu ketenteraman nelayan tempatan dalam banyak segi.

"Dengan penubuhan 'Task Force' berkenaan diharapkan dapat mengekang kemasukan bot-bot nelayan asing ke perairan Malaysia," jelasnya.

Katanya, pihak APMM tidak boleh memaklumkan bila tarikh operasi bersepadu akan dimulakan tetapi maklumat kejayaan operasi tersebut akan dimaklumkan oleh pihak KDN sendiri.


Tag: