• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Operasi Pasar Malam Ikut SOP

DUNGUN, 3 Februari - Pasar Malam di daerah Dungun dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dengan terhad kepada gerai menjual makanan, minuman dan barangan basah sahaja.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Pasar Minggu Dan Pasar Malam Daerah Dungun (KEPPAMIN), Hassan Abdul Aziz berkata, pembukaan pasar malam berkenaaan telah mendapat kebenaran Majlis Perbandaran Dungun (MPD), Pejabat Kesihatan Dungun dan Polis Daerah Dungun.

"Pihak berkuasa akan sentiasa memantau.

"Kita akan pastikan SOP dipatuhi, jarak dari satu kanopi ke satu kanopi lima kaki, menyediakan pelitup muka, tempat pemeriksaan suhu di kedua-dua pintu masuk pasar malam di samping ada petugas yang ditugaskan untuk mengendalikan tempat berkenaan. 

"Jika ada pengunjung yang datang tidak pakai pelitup muka kita akan tegur atau beri pelitup mula kepada mereka, kita berharap pengunjung akan mematuhi SOP," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika bersiaran dalam rancangan Dimensi Manis, membincangkan tajuk 'Peniaga Pasar Malam Terjejas : Apakah Solusinya' di radio Manis.fm.

Menurut Hassan, pihaknya juga menerima banyak rungutan agar perniagaan pakaian dan barangan lain turut diberi peluang untuk berniaga tetapi masih tidak boleh memandangkan ianya belum mendapat kebenaran daripada pihak yang berautoriti.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli dan wakil-wakil rakyat dalam parlimen tersebut yang sentiasa membantu para peniaga sejak dari PKP 1.0 lagi. 

"Memang wakil-wakil rakyat kita sangat mengambil berat, apa-apa masalah yang kita hadapi akan cuba diselesaikan," katanya. 


Tag: