• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Operasi 'Pukat' RXZ Members Kerana Ada Aduan?

KUALA TERENGGANU, 10 September - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Terengganu memaklumkan, operasi khas motosikal secara bersepadu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri sewaktu penganjuran program RXZ Members 5.0 pada 8 dan 9 September lalu ekoran aduan daripada orang awam.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, orang awam memaklumkan segelintir penunggang motosikal tersebut telah memandu secara melulu dan merbahaya di jalan raya termasuk Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dan jalan-jalan negeri.

“PDRM bertugas dan berfungsi untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Negeri Terengganu dan Malaysia amnya.

“Ekoran dari rungutan dan aduan tersebut, pihak polis telah membuat pemantauan serta pemeriksaan dan mendapati sememangnya benar terdapat segelintir penunggang motosikal ini telah melakukan kesalahan lalu lintas dan mengganggu ketenteraman awam seperti yang didakwa,” ujarnya pada sidang media sempena Operasi Bersepadu-Operasi Khas Motosikal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, hari ini.

Katanya, sebanyak 185 pelbagai buah motosikal dan seramai 205 individu telah ditahan semasa operasi dijalankan dengan kekuatan anggota seramai 83 orang.

“Kesemua mereka telah di bawah ke IPK Terengganu untuk proses dokumentasi. Semasa proses dokumentasi pelbagai kesalahan telah didapati dan saman trafik dikeluarkan antaranya tiada lesen memandu (39), nombor pendaftaran ‘fancy’ (103), tiada cermin sisi (146) dan ubah suai ekzos (4),” ujarnya.

Sementara itu katanya, sebanyak (111) buah motosikal disita oleh JPJ dibawah seksyen 64 APJ 1987 (Kuasa menyita kenderaan motor) dan sebanyak (311) saman/notis telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Secara keseluruhannya sebanyak (292) saman telah dikeluarkan oleh Polis Trafik dan (311) saman/notis telah di keluarkan oleh pihak JPJ Terengganu,” jelasnya.

Tambah beliau, perjalanan operasi tersebut telah dimaklumkan kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“PDRM dan JPJ Terengganu melaksanakan operasi ini secara professional dan proses dokumentasi berjalan dengan lancar. 

“Mana-mana motosikal yang tidak melakukan kesalahan serius telah dilepaskan manakala motosikal yang tidak memenuhi justifikasi dan spesifikasi akan melalui proses pemeriksaan lengkap oleh pihak JPJ dibawah Seksyen 64 APJ 1987,” jelasnya.