KUALA TERENGGANU, 25 Februari- Kerajaan negeri mengingatkan peniaga di negeri ini agar mematuhi waktu operasi kedai makan atau jualan makanan di bulan Ramadan berdasarkan arahan dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) daerah masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kegagalan mematuhi undang-undang boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara selama dua tahun.
Menurut beliau, kebiasaannya kemuliaan Ramadan diganggu oleh pihak-pihak yang sengaja membuat kesalahan sepertimana dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, dibawah Seksyen 19: Tidak Menghormati Ramadan.
“Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) telah diarahkan mengenal pasti premis yang menjual makanan kepada individu tidak berpuasa pada tahun lalu.
"Sebanyak dua kes melibatkan kesalahan tidak berpuasa direkodkan tahun lepas di bawah seksyen tersebut.
“Kita beri amaran terakhir sebelum masuk bulan Ramadan, sekiranya mereka masih tidak patuh undang-undang, maka tindakan sewajarnya akan diambil,” ujarnya pada sidang media Ops Supik Hitam di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, JHEAT juga akan menjalankan pemantauan ke atas beberapa premis bagi menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh masyarakat berkaitan jualan kepada orang yang tidak berpuasa.
Katanya, pemantauan itu dibuat susulan laporan diterima berhubung pembelian makanan di premis tersebut pada Ramadan tahun lalu.
"Ops Supik Hitam akan diteruskan tahun ini kerana ada individu Islam yang tidak berpuasa dikesan membeli makanan di kedai serbaneka 24 jam dan premis bukan Islam.
"Saya telah berbincang dengan pihak PBT untuk mengambil langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah ini,” ujarnya.
Menurut beliau, Ops Supik Hitam peringkat negeri tahun ini secara rasminya akan dilancarkan pada 27 Februari ini di JHEAT sebagai salah satu usaha menjaga kesucian bulan Ramadan.