• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Ops Bonceng : Cegah Jenayah Syariah

KUALA TERENGGANU, 22 Januari- Pendekatan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melalui Op Bonceng, yang menimbulkan kontroversi beberapa tahun lalu bukan untuk menyusahkan masyarakat.

Penolong Pesuruhjaya (Operasi) Bahagian Penguatkuasaan Syariah JHEAT, Amirul Akram Muhammad Hajazi berkata, operasi tersebut lebih menjurus kepada pencegahan jenayah syariah.

"Sebenarnya Op Bonceng merupakan satu aspek daripada kesalahan perlakuan tidak sopan di tempat awam Seksyen 34 di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Terengganu.

"Cuma, apa yang kita boleh ambil daripada kesalahan ini bila mana pasangan bukan mahram menunggang motosikal bersama-sama tanpa ikatan sah, maka kita boleh ambil tindakan di bawah enakmen ini.

"Namun, sebenarnya kita lebih banyak kepada tindakan pencegahan bagi menguar-uarkan kepada masyarakat bahawa perlakuan tidak sopan ini boleh berlaku dalam pelbagai bentuk," katanya ketika ditemui selepas forum Ops Bonceng: Cegah Sebelum Parah di Dewan Auditorium JHEAT, hari ini.

Forum berkenaan menampilkan Penaung Skuad Ammar Terengganu, Harun Esa, peguam yang juga Pengerusi Luham Care, Mohd Kamaruzzaman A Wahab dan Penolong Kanan Pesuruhjaya (Penguatkuasaan), Kamal Mamat sebagai ahli panel.

Tambahnya, masih belum ada individu dikenakan tindakan di mahkamah, sebaliknya kebanyakan pasangan yang ditahan hanya dipanggil ke pejabat untuk khidmat nasihat supaya tidak mengulanginya.

Dalam pada itu, Harun menyatakan, skuad Ammar sebagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berkaitan mengambil pendekatan diambil pihaknya lebih bertumpu kepada aspek pencegahan dan menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

"Bukan tangkapan yang menjadi keutamaan kami, tetapi kestabilan dari segi moral setiap masyarakat yang berada di bawah sana.

"JHEAT telah jalankan peranan cegah dan penguatkuasaan, kita pula lebih melibatkan kerja amar maruf nahi mungkar.

"Hasrat kami supaya Terengganu berjaya mencapai sifar kelakuan dan kesalahan jenayah syariah dan usaha yang dibuat ini adalah langkah pencegahan supaya rakyat tidak berpeluang melakukannya," katanya.


Tag: