Terengganu Tarik Pelaburan RM3.1 Bilion Melalui ECERDC, Jana Lebih 5,000 Kerja
KUALA TERENGGANU, 14 April- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu sedang mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan sepanjang Ramadan dan menjelang perayaan bagi mengelakkan wujud peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan.
Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, operasi itu akan dilaksanakan melalui OPS Pantau 2022 sekali gus memastikan rakyat mudah mendapatkan bekalan makanan dan keperluan harian pada harga yang berpatutan.
"Penguatkuasaan ini dilaksanakan secara seragam di seluruh negeri membabitkan lokasi tumpuan, bazar hari raya, pasar awam, pasar basah, hypermarket, supermarket, mini market dan juga kedai runcit. Di mana pemeriksaan dijalankan memberi fokus kepada harga, bekalan, jualan murah dan penjualan barangan tiruan, Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMPP).
"Pemantauan secara lebih kerap dan bersasar dilakukan ke atas bekalan barang-barang yang menjadi tumpuan rakyat menjelang perayaan seperti gula, minyak masak, tepung gandum, beras, barang basah dan barangan membuat kuih muih supaya semuannya mempunyai tanda harga dan dijual pada kadar harga yang telah ditetapkan," ujarnya melalui satu kenyataan, di sini, baru-baru ini.
Mengulas lebih lanjut, katanya peniaga yang mengambil kesempatan dengan menjadikan alasan musim perayaan sebagai alasan untuk menaikkan harga barangan akan berhadapan dengan tindakan di bawah Seksyen 14 (1), Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
"Sekiranya sabit kesalahan, syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
"Pihak KPDNHEP juga mengalu-alukan kerjasama daripada para pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan mengikut saluran yang disediakan bagi memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan," tegasnya lagi.