KUALA TERENGGANU, 27 Februari - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu akan kembali mengaktifkan Ops Pelantar Merah dalam usaha menangani isu-isu pencerobohan pelantar-pelantar minyak di perairan negeri itu.
Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan kekerapan laporan berkaitan isu tersebut diutarakan.
"Baru-baru ini kita banyak menerima laporan pencerobohan di pelantar minyak. Bermula tahun ini sahaja kita telah menerima empat laporan berkenaan pencerobohan pelantar-pelantar minyak yang tidak berpenghuni ini.
"Berdasarkan banyak laporan yang diterima, kita akan melaksanakan operasi khas untuk menjaga pelantar minyak ini iaitu Ops Pelantar Merah.
"Ops ini telah dijalankan sebelum ini dan kita akan aktifkan kembali untuk fokus serta memantau kawasan pelantar-pelantar minyak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia peringkat Negeri Terengganu di sini, semalam.
Dalam pada itu, Mohd Khairulanuar memaklumkan, tujuh lelaki warga Indonesia yang ditahan ketika menceroboh pelantar minyak tidak berpenghuni di Lapangan Tembikai di kedudukan 77 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu, pada Khamis didakwa pagi ini.
Kesemua tertuduh berusia lingkungan 25 hingga 45 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.