• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Orang Ramai Dipelawa Sertai Skim Hafaz Al-Quran Terengganu

KUALA TERENGGANU, 20 April - Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan mengadakan Skim Hafaz Al-Quran Dewasa Terbuka Negeri Terengganu bagi penggal pertama tahun 2021.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Mat Azmi Arshad berkata, pihaknya mempelawa sesiapa yang berminat dan memenuhi syarat ditetapkan untuk menyertai program ini.

“Antara syaratnya adalah beragama lslam serta merupakan rakyat negeri Terengganu yang bermastautin di negeri ini.

“Tahap minima hafaz adalah tidak kurang dari 7 juzu' pertama mengikut susunan mashaf dan berumur tidak kurang dari 18 tahun dan tidak melebihi 29 tahun bagi mereka yang memohon tahap di bawah 30 juzu'. 

“Manakala seseorang yang berumur 30 tahun dan ke atas hendaklah memasuki tahap 30 juzu',” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, mana-mana pelajar dan lulusan Maahad Tahfiz atau Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran atau yang seumpama dengannya yang ingin menyertai ujian ini hendaklah memasuki ujian tahap 30 juzu'.

“Peserta juga perlu bersedia dan sanggup memberi sumbangan sukarela di negeri Terengganu sahaja iaitu di tempat-tempat yang diarahkan atau dipersetujui oleh jabatan sekurang-kurangnya dua kali seminggu. 

“Penyertaan masyarakat/kanak-kanak (pelajar-pelajar tuan/puan) dalam sumbangan tersebut hendaklah melebihi 15 orang di mana sumbangan bermaksud kesediaan untuk mengadakan pengajaran kelas al-Quran, kelas fardu ain, mengajar Bahasa Arab, mengajar ilmu Tafsir Al-Quran,Tajwid, Fiqh dan lain-lain,” ujarnya.

Menurut beliau, setiap permohonan hendaklah dibuat melalui borang JHEAT/D 2021 yang boleh didapati dari Pejabat Agama Daerah masing-masing atau boleh dimuat turun melalui laman web http://jheatweb.terengganu.gov.my dan bagi hafiz/pemohon 30 juzu' hendaklah mengisi Borang Maklumat Sumbangan Sukarela Berkembar.

Katanya, borang permohonan yang lengkap hendaklah dihantar ke Pejabat Agama Daerah masing-masing untuk pengesahan dan sokongan sebelum atau pada 3 Mei depan.