• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Orang Ramai Diseru Sertai Penanaman Kenaf

SETIU, 4 Oktober - Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) menyeru orang ramai menyertai industri penanaman kenaf dalam usaha meningkatkan penghasilan produk berasaskan tanaman tersebut.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kenaf memiliki potensi tinggi untuk menjadi produk pasaran semasa melalui pelbagai penghasilan produk akhir terutama dalam industri pembuatan.

"Perkembangan industri kenaf dalam sistem binaan berindustri (IBS) ini mengurangkan kos tenaga kerja dalam industri pembuatan sehingga sekitar 20 peratus, cuma produksinya belum meluas kerana kita risau bekalan kenaf masih tidak mencukupi.

"Kita sedang menilai keperluan penggunaan kenaf dalam pembuatan rumah dan ini menjadi pelan jangka masa panjang untuk LKTN. Ketika ini, kita mempunyai tanaman kenaf seluas 2,000 hektar yang mampu digunakan bagi pembinaan 4,000 buah rumah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas lawatan kerja Pusat Pemprosesan dan pengeluaran Produk Kenaf Saujana, di sini, hari ini.

Menurutnya, pelan pemasaran yang lebih jelas dan komprehensif perlu dilaksanakan dalam menentukan hala tuju industri berkenaan supaya pengeluaran kenaf mendapat permintaan yang tinggi.

"Bagi menggalakkan peningkatan tanaman kenaf, LKTN turut menyediakan insentif penanaman kenaf yang merangkumi bantuan bekalan biji benih, baja , input pertanian dan perkhidmatan mekanisasi dengan nilai keseluruhan sebanyak RM2,385 bagi satu hektar tanaman.

"Tanaman kenaf memerlukan kitaran selama empat bulan sebelum dituai dan pengusaha mampu mendapat sekitar RM4,000 sekali musim tuaian. Kini, kita baru ada dalam 1,000 pengusaha kenaf seluruh negara," katanya.

 

 


Tag: