Royalti Petroleum : Kerajaan Perpaduan Lebih Teruk Daripada Kerajaan PH
Padang Ragut 20.25 Hektar Selesai Masalah Haiwan Berkeliaran
SETIU, 3 Februari – Pembukaan padang ragut seluas 20.25 hektar di Bukit Lingai, Batu Rakit dekat sini berjaya menyelesaikan masalah haiwan berkeliaran di merata-rata tempat.
Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, sebelum ini banyak haiwan ternakan berkeliaran sehingga menyebabkan timbul pelbagai masalah termasuk kemalangan jalan raya yang mengorbankan nyawa.
“Isu pengembala lembu dan kambing khususnya di Batu Rakit membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran menyebabkan mereka sering menjadi cemuhan masyarakat.
“Kita berbincang mencari jalan penyelesaian sebelum memutuskan mewujudkan padang ragut. Insya-Allah apabila cukup makanan, haiwan ternakan mereka akan dijaga baik,” katanya ketika ditemui semasa melakukan kerja-kerja penanaman rumput di padang ragut tersebut semalam.
Terdahulu Mohd Shafizi berkata, padang ragut itu merupakan inisiatif Koperasi Asas Tani Batu Rakit Terengganu Berhad (KOPSTAR) bagi membekalkan rumput sebagai sumber makanan haiwan kepada lebih 100 penternak.
“setakat ini, 8.1 daripada 20.25 hektar tapak padang ragut di atas tapak milik Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah ditanam dengan rumput minyak (Brachiaria Humidicola) dan rumput gajah (Pennisetum purpureum).
“Fasa satu projek penanaman rumput pada padang ragut tersebut yang telah bermula sejak bulan lalu dijangka selesai dan sudah boleh dituai pada bulan Jun depan,” tambah beliau.