• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pahang, Destinasi Kedua Promosi Jelajah Beautiful Terengganu

KUANTAN, 29 Jun- Kempen Jelajah Beautiful Terengganu, Pakat Maghi Terengganu 2022  kini diteruskan di Pahang sebagai destinasi pilihan kedua selepas Kedah dengan penawaran pakej percutian menarik di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata, ia merupakan kerjasama kerajaan negeri Terengganu menerusi Jabatan Pelancongan Negeri meneruskan sinergi promosi dalam negara.

Katanya, program memperkasakan kempen promosi sektor pelancongan dan kebudayaan negeri ini yang turut mendapat kerjasama Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Terengganu memfokuskan segmentasi pelancongan tertentu dalam menarik lebih ramai pengunjung domestik ke Terengganu.

"Pahang dilihat mempunyai potensi besar dalam industri pelancongan terutama lokasi popular seperti Tanah Tinggi Genting dan Tanah Tinggi Cameron yang berupaya menjadi faktor tarikan pengunjung.

" Terengganu turut mempunyai beberapa persamaan dengan Pahang yang sekaligus dapat memberikan pilihan produk serta pakej pelancongan kepada pelancong sasar," ujarnya kepada pemberita.

Tambah beliau, Pahang mempunyai pulau terkenal seperti Pulau Tioman dan begitu juga Terengganu yang yang mempunyai tujuh pulau peranginan utama yang selama ini menjadi faktor tarikan utama pengunjung seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian, dan Pulau Kapas.

"Begitu juga sepertimana Pahang menjenamakan masakan ikan patin sehingga terkenal diseluruh negara, Terengganu juga mempunyai menu masakan istimewa Ikan baung yang akan dijadikan ikon baharu dalam ketengahkan Terengganu sebagai destinasi baharu untuk pelancongan gastronomi" ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi MAH Terengganu, Suaibah Harun berkata, Program Jelajah BTM yang menggunakan kaedah Business to Business (B2B) itu dianggap antara strategi terbaik bagi pelancongan di Terengganu.

Menurut beliau, kaedah itu  memberi lebih fokus kepada pemain industri dalam mendapatkan input serta maklumat berkaitan perkhidmatan dan pakej yang ditawarkan di Terengganu.

"Kesan promosi yang digerakkan pihak jabatan melalui pelbagai saluran telah menunjukkan peningkatan hasil tempahan hotel di bawah MAH. 

"Purata tempahan pada hari biasa ialah 50 peratus dan jumlah itu meningkat kepada 80 peratus pada hujung minggu, musim cuti persekolahan, perayaan dan setiap kali adanya penganjuran program oleh kerajaan negeri," katanya.

Jelajah BTM ke Pahang kali ini melibatkan 13 penggiat industri pelancongan yang terdiri daripada
pengusaha hotel, agensi kerajaan, agensi pelancongan dan pengusaha produk nasi dagang serta keropok lekor.