• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

'Pak Belalai' Ancam Kawasan Pertanian Ditangkap

SETIU, 25 Jun - Seekor gajah liar jantan dianggarkan berumur antara 12 hingga 14 tahun yang mengancam kawasan pertanian di Mukim Hulu Setiu berjaya ditangkap anggota Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, usaha Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu khususnya pasukan operasi yang telah bertungkus lumus sejak seminggu lepas menjayakan tugas yang mencabar terbabit.

"Esok Sabtu 26 Jun operasi pemindahan akan dilakukan ke lokasi yang belum dimaklumkan,

"Gajah denak akan berperanan untuk mengiringi gajah yang baru ditangkap bagi proses pemindahan," katanya ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Kampung Seladang, Hulu Setiu.

Hadir sama, Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Zulkepli Amin Yusof.

Ujar Dr Azman, Kerajaan Negeri komited menjaga kepentingan survival hidupan liar dan ia perlu diuruskan dengan bijak.

Gajah denak 'Suria' dan 'Kala' yang tiba dari Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Hulu Terengganu malam tadi akan digunakan bagi proses pemindahan tersebut.

Gajah berkenaan yang hampir dua bulan berkeliaran di kawasan pertanian Kampung Bayas dan Kampung Seladang didakwa terlepas daripada kawanan gajah lain dan menyebabkan ia bersendirian.