10 Keluarga di Pulau Redang Terima Rumah Pemberian Kerajaan Negeri
KUALA TERENGGANU, 20 April - Menteri Besar Terengganu merangkap Naib Presiden PAS mengesahkan dokumen tersebar yang didakwa sebagai ‘strategi PAS’ adalah tidak benar dan palsu.
Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, helaian tidak diketahui asal usul itu hanya bertujuan memburukkan, menjejaskan fokus serta memporak-perandakan parti itu.
“Ada yang percaya ke laporan itu, saya hanya gelak sahaja bila tengok.
“Ia tidak benar entah datang daripada mana benda-benda sampah seperti itu,” jelas beliau ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Pendahuluan Diri dan Bantuan Persedian Penerima Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Luar Negara Tahun 2022 di Wisma Darul Iman hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, dokumen itu sengaja direka pihak tertentu untuk memutarbelitkan fakta sebenar.
“Mereka mengambil kesempatan terhadap pertemuan yang kita adakan, mereka tahu kita buat pertemuan, walhal perjumpaan seperti itu kita buat dengan semua pihak atas kapasiti berbeza bukan sebagaimana ditohmah.
“Eja nama saya pun tak betul, tetapi itulah naratif yang mereka cuba cipta,” tambah beliau.
Terdahulu, tersebar di media sosial sejak semalam mengenai satu dokumen sulit lengkap yang didakwa sebagai 'langkah politik PAS'.
Dokumen palsu itu menyebut tentang beberapa pertemuan yang dibuat Ahmad Samsuri dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dengan beberapa pemimpin politik untuk percaturan politik masa depan.