• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Panji Curve, Bangunan Komersial Tarikan Terbaru Di Kuala Terengganu

Panji Curve setinggi empat tingkat di Dataran Panji, Gong Kapas, Kuala Terengganu. Foto Zulkifli C W Putra

Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) terus melebarkan sayap perniagaannya apabila memiliki satu lagi premis perniagaan Panji Curve bernilai kira-kira RM40 jutadi Dataran Panji, Gong Kapas, Kuala Terengganu.

Bangunan Komersial empat tingkat didirikan di kawasan seluas satu hektar itu akan beroperasi dalam tempoh terdekat selepas selesai penyerahan kunci kepada pemilik premis.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Negeri Dan Kesejahteraan Bandar Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee berkata, projek mesra Orang Kelainan Upaya itu dilengkapi 70 lot perkedaian, 127 petak tempat letak kenderaan dan kemudahan lif.


Menurutnya, pembangunan projek itu merupakan usahasama antara kerajaan negeri melalui LTAWNT dengan RME Sdn. Bhd.

Katanya, dengan menekankan konsep bandar selamat, Panji Curve berjaya disiapkan dalam tempoh setahun dengan penyerahan CCC (Certificate of Completion and Compliance) diadakan pada hari ini.

“Harga jualan seunit lot perkedaian adalah antara RM529,000 hingga RM1 juta seunit.
“Sambutan daripada usahawan tempatan dan luar Terengganu sangat  memberangsangkan di mana 80 peratus daripada keseluruhan lot pekedaian telah terjual,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan CCC Projek Perkedaian, di Dataran Panji, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Mohd Zulkifli Abu Bakar.


Mohd Jidin turut memberitahu, kerajaan negeri menyokong penuh sebarang usaha untuk menambah baik syarat-syarat kelulusan pelan pembangunan oleh pihak MBKT.

“Pada masa sama, menghargai kesediaan dan kebolehan pihak pemaju dalam menyediakan konsep dan reka bentuk bangunan yang menarik dan setaraf dengan bandar-bandar besar lain di Malaysia.

“Projek pembangunan ini juga wajar dicontohi dan menjadi ikutan kepada pihak berkuasa tempatan lain di Terengganu serta pemaju dan perunding lain untuk lain-lain projek di masa akan datang,”katanya..

Tag: