• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

Pantai Terengganu Bebas Sampah Tanggungjawab Bersama

KEMAMAN, 19 September - Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat mengharapkan semua pihak mengambil tanggungjawab bersama menjaga keindahan tempat-tempat pelancongan serta tumpuan awam terutama di pantai-pantai di negeri Terengganu supaya bersih dan bebas daripada sampah.

"Amalan menjaga kebersihan merupakan amalan penting dalam memacu kemajuan negara serta masyarakat. Ia juga wajar dibudayakan sebagai salah satu amalan hidup.

"Islam adalah cara hidup yang mencakupi semua pergerakan manusia dari mula bangun tidur sehingga kembali semula ke tempat tidur. Jika ibadat solat mensyaratkan setiap umat Islam mementingkan kebersihan, begitu juga tuntutan Islam supaya kebersihan dipelihara setiap masa dalam kehidupan," ujarnya.

Beliau yang jugaAhli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai berkata demikian ketika berucap merasmikan program Kempen Bersih Pantai Peringkat Daerah Kemaman Tahun 2020 di Pantai Teluk Mak Nik, hari ini.

Daerah Kemaman menjadi daerah pertama yang menjalankan program ini dan akan diikuti oleh daerah lain serentak pada 3 Oktober 2020.

Turut hadir memeriahkan program itu, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Abdul Hamid, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Jusman Ibrahim, Penolong Kanan Pegawai Daerah (Pembangunan Fizikal), Nurul Ain Husin serta Pengarah Akademi Didik Ulamak Amilin Terengganu, Ustaz Ramlan Mahmood.


Tag: