• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

PAPKET Bantu Golongan Fakir Miskin, Anak Yatim

KEMAMAN, 21 November - Pertubuhan Amal Prihatin Kemaman (PAPKET) telah menganjurkan program memberi sumbangan sekampit beras dan sekilo daging kepada golongan fakir miskin dan anak yatim, hari ini.

Pengerusi PAPKET, Muhammad Faisal Kamarudin, 34, berkata sumbangan ini diagihkan pada sebahagian golongan sasaran melalui wakil mereka di seluruh Kemaman melibatkan empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kemasik, Kijal, Cukai dan Air Putih.

"Dua ekor lembu ditumbang melibatkan daging seberat 160 kilogram bagi melaksanakan program kami kali ini, ujarnya.

Katanya lagi, kerja-kerja pengagihan ini juga turut mendapat kerjasama daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang terlibat.

"Saya mengharapkan PAPKET akan terus dapat menganjurkan program seumpama ini di masa akan datang. Program ini merupakan sebahagian program besar yang kami adakan. Selain daripada itu, kami akan adakan program Back To School pada Januari, tahun depan.

Jika ada mana-mana individu dan badan korporat yang ingin turut menyumbang, boleh terus hubungi kami," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui selepas selesai majlis tersebut.

Penaung PAPKET yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab.Razak Ibrahim turut hadir dalam majlis penyerahan sumbangan tersebut kepada wakil untuk diagihkan ke kawasan masing-masing.

PAPKET merupakan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada tahun 2018. Ia berperanan dalam melaksanakan kerja-kerja kebajikan dengan memberikan tumpuan pada golongan fakir miskin, ibu tunggal, anak-anak yatim dan golongan sasaran yang memerlukan bantuan. 

PAPKET juga sentiasa membuka peluang kepada mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dalam melakukan kebaikan dan menjayakan sesuatu misi yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat.


Tag: