• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Parkir : Peniaga Sokong Kenakan Caj Jika Kena Cara

KUALA NERUS, 5 Januari - Rata-rata peniaga di Dataran Rimba Square tidak menghalang sekiranya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mahu melaksanakan parkir berbayar di kawasan tersebut jika menggunakan kaedah yang tepat.

Wakil pengusaha, Muhd Shamiza Ali, 42, berkata, beliau berharap Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mendapatkan nasihat Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkenaan kaedah yang bakal dilaksanakan nanti.

Beliau menegaskan, para peniaga risau sekiranya kaedah kutipan menggunakan pondok atau khemah yang menimbulkan kekecohan sebelum ini, berulang kembali.

"Kami tidak menghalang PBT mengenakan caj parkir, tetapi kaedah kutipan itu yang dipertikaikan. Kita faham, Kerajaan Negeri perlukan dana, cuma kaedah yang digunakan perlu bersesuaian.

"Kami juga telah memberi cadangan kepada YB Wan Sukairi dalam pertemuan sebelum ini bahawa peniaga bersedia menyokong dengan membeli lot parkir daripada MBKT sekiranya diperlukan.

"Kami belum dapat satu jawapan, sistem bagaimana yang akan digunakan selepas ini," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) bersama sebahagian pengusaha di Dataran Rimba Square, semalam.

Tambahnya, kaedah mengutip bayaran parkir menggunakan pondok secara tidak langsung akan turut memberi impak kepada sistem pentadbiran negeri, padahal ia dilakukan oleh pihak kontraktor swasta 

Dalam pada itu, pengusaha kedai alat permainan, Rafiuddin Wan Muhammad, 39, menyifatkan, pihak MBKT seharusnya melakukan kaji selidik kewajaran dan kesesuaian kaedah sebelum mengenakan caj di sesuatu kawasan.

"Sebelum ini, berlaku penurunan jualan sebanyak 50 peratus di kalangan majoriti peniaga hanya dalam tempoh dua hari pondok kutipan beroperasi.

"Bahkan, boleh dikatakan purata satu kedai di kawasan ini terpaksa 'menutup pintu' sejak enam bulan lalu impak penutupan pasaraya di sini dan kaedah ini semakin membebankan peniaga. Jadi, apa kriteria yang wajib ada untuk melayakkan sesuatu kawasan dibuat parkir berbayar dan bagaimana kaedahnya?.

"Kami akan sokong sepenuhnya sistem parkir berbayar sekiranya menggunakan sistem elektronik yang digunakan secara meluas di seluruh negara dan ternyata memudahkan pengguna.

"Ketika sistem pondok dijalankan, kami memerlukan masa sehingga setengah jam untuk keluar dari parkir," katanya sambil berharap masalah sama tidak berulang.

Beliau turut memuji langkah bijak Majlis Daerah Besut (MDB) yang mengetengahkan sistem parkir pintar 'Smart Besut' yang dilihat semakin memberi impak positif kepada daerah berkenaan.

Isu pondok kutipan parkir di Dataran Rimba Square awal bulan lalu menimbulkan kekecohan apabila membebankan pengunjung yang datang ke kawasan tersebut.

Isu itu berlanjutan dengan pelbagai aduan yang berakhir dengan tiga pondok kutipan dibakar oleh individu tidak dikenali. 

Wan Sukairi berhasil meredakan keadaan selepas pertemuan dengan para pengusaha terlibat dan berjanji untuk membawa 'suara' mereka ke peringkat pengurusan tertinggi PBT.


Tag: